Teka-teki mengenai masa depan bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar akhirnya terjawab pada hari ini selepas pasukan Sabah mengumumkan penyertaan pemain tengah kebangsaan itu.
Pemain berusia 33 tahun itu menjadi pemain baharu ketiga selepas Azhad Harraz dan Dominic Tan yang disahkan bakal menyarung jersi The Rhinos pada musim hadapan.
Seorang lagi bekas pemain Kedah, Rizal Ghazali juga dilaporkan akan mengikut jejak rakan sepasukannya itu dan pengumuman mengenai penyertaannya akan dibuat pada bila-bila masa.
Selamat tinggal #HijauKuning? 👀
— Team Malaysia (@TeamMsia) November 24, 2021
Dikhabarkan kapten Kedah Darul Aman, Baddrol Bakhtiar & Rizal Ghazali bakal behijrah ke Sabah untuk #LigaSuper2022 musim depan. Kipré Tchétché juga dikatakan dalam pertimbangan sertai skuad #TheRhinos itu. #AksiSetiapDetik #KamiTeamMalaysia pic.twitter.com/biloeouTzJ
Baddrol dan Rizal sebelum ini merupakan teraju utama skuad Hijau Kuning yang pernah menghadiahkan beberapa kejuaraan seperti Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih selain dua kali muncul naib juara Liga Super.
Sebelum ini ada ura-ura yang telah dikeluarkan oleh banyak pihak mengenai status Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali ini sama ada kekal atau bakal berpindah ke pasukan lain.
Menerusi laman rasmi Kedah sebentar tadi Baddrol dan Rizal antara 7 pemain yang tidak akan bersama lagi dengan pasukan Kedah untuk musim hadapan bagi slot pemain tempatan.
🔰 SETIAP YANG BERMULA ADA PENGAKHIRANNYA, SELAMANYA TERPAHAT DI DADA SEMANGAT HIJAUKUNING!
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) December 1, 2021
KDA FC merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pemain yang telah memberikan segalanya dan perjuangan sepenuh hati bersama skuad hijaukuning. #kdafc #biarjasajadikenangan pic.twitter.com/KMXbepKT0P
Baddrol merupakan pemain yang paling lama beraksi dengan pasukan Kedah sejak awal tahun 2006 sehingga 2021. Pemain ini telah mencatat 123 gol sepanjang bersama pasukan Kedah dan memperoleh 12 kejuaraan domestik.
Rizal Ghazali yang menyertai Kedah pada tahun 2014 menjadi bek kanan paling berpengaruh buat pasukan tersebut sehingga sukar setakat ini posisi beliau digugat mana-mana pemain dek konsistensi beliau sepanjang musim bersama pasukan.
Kehilangan 2 tonggak utama Kedah ini menimbulkan banyak pendapat mengenai persiapan musim Kedah untuk mendapatkan pemain pengganti.
Amirul Azhan antara nama yang dikaitkan bersama pasukan Kedah pada musim hadapan bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan Rizal Ghazali.
Namun setakat ini spekulasi mengenai pemain pertahanan Perak tersebut masih belum kukuh untuk menyertai skuad kendalian Aidil Sharin yang turut akan beraksi di saingan AFC musim hadapan.
Apapun, pemergian 2 pemain ini pastinya menghadirkan 1001 rasa buat para penyokong setia Kedah yang tidak akan melihat kelibat 2 pemain ini lagi pada musim hadapan.
Semoga maju jaya buat 2 tonggak utama ini yang sudah pun terpahat dalam sejarah pasukan Kedah sepanjang zaman dan biar slogan ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’ tersemat dalam diri para pemain tersebut selamanya.