Benjamin Mora: “Kalaulah Rembatan Bergson Tu Tak Terkena Tiang…”

Bergson da SIlva JDT KL City Piala Malaysia 2021

Minit ke-9, percubaan deras penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva hanya singgah di tiang gol, walaupun sudah memperdaya Kevin Mendoza yang hanya kaku melihat bola tersebut menggegar tiangnya.

Jika rembatan tersebut berjaya menghasilkan jaringan buat JDT, sudah tentu corak permainan dan perjalanan kisah perlawanan akhir itu akan jadi lain. Mungkin JDT yang akan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

Pasukan pilihan, JDT dikejutkan pasukan yang baru kembali ke saingan elit Liga Malaysia, KL City FC dengan keputusan 0-2 dalam pentas final, malam tadi. Dan ia malam yang jelas teramat gemilang buat The City Boys.

Buat JDT, ia malam yang mahu segera mereka lupakan. Biarpun berjaya mencipta deretan percubaan, namun kecemerlangan Kevin Mendoza berjaya menafikan peluang Harimau Selatan untuk mengaum di Bukit Jalil.

AFC Kagum Kejayaan Luar Biasa KL City Ulangi Pencapaian Skuad 1989

Apa yang dapat dilihat, JDT mempamerkan permainan berintensiti tinggi mereka dengan hanya meletakkan tiga pertahanan di garisan yang tinggi. Mereka menekan lawan waima di kawasan defensive third lawan mereka.

KL City cuba bermain serangan balas pantas apabila JDT terlepas kawalan bola hasil taktikal kompak di zon defensive third mereka. Apabila bertahan, Bojan Hodak meletakkan barisan lima pertahanan dibantu tiga pemain tengah, Akram Mahinan, Ryan Lambert dan Zhafri Yahya yang berada di depan benteng tersebut.

Zhafri Yahya dilihat sangat aktif berada di atas ketika menyerang dan bertahan di bawah ketika diserang. Beliau menjadi fokal permainan KL City ketika asakan cuba dicatur dan segera turun membantu bertahan jika perlu.

JDT mempamer tekanan awal ke benteng KL City sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali. Sepanjang saingan Piala Malaysia, hampir separuh jaringan JDT hadir dalam 15 minit pertama perlawanan iaitu lapan daripada 19 gol yang mereka berjaya hasilkan sepanjang perjalanan ke pentas final.

Jika, Bergson berjaya melakar jaringan seawal minit ke-9 itu, sudah pasti kisah yang berbeza mungkin akan tercipta. Begitupun, JDT bergelut untuk memecah blok benteng lawan dan juga kekebalan Kevin Mendoza.

“Perlawanan seimbang tetapi kita tidak menang dan tidak dapat menjaringkan gol. Tahniah kepada KL City. Kita cuba memecahkan pertahanan KL City pada babak pertama tetapi kita tidak dapat lakukannya. Percubaan Bergson terkena tiang dan selepas itu perlawanan berpihak kepada KL City,” ungkap Benjamin Mora.

Leave a Reply