Pengendali Selangor, B. Satiananthan jelas kecewa dengan aksi longlai anak buahnya pada babak pertama yang menjurus kepada kekalahan 2-3 ditangan Perak malam tadi.
Kekalahan itu dilihat telah menutup terus peluang Selangor bagi bersaing dengan Pahang dalam perebutan tempat kedua saingan Liga Super.
”Pertama, saya nak ucapkan syabas kepada Perak. Saya sentiasa boleh cakap Perak adalah satu pasukan yang baik, pasukan yang bagus. Mereka telah membina satu pasukan yang kuat. Kalau tidak macam mana mereka boleh layak ke Piala FA (Final).”
”Cuma apa yang saya terkilan adalah cara kita bermain pada separuh masa pertama. Tak ‘control’ langsung,” jelas Satiananthan bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.
”Walaupun kita menjaringkan dua gol dan kita dibolosi dua gol dengan satu gol sendiri, dimana budak-budak tak buka mulut dan satu lagi sepakan penalti.”
”Sepakan penalti yang diberikan itu tidak mengapa tetapi sepakan terkena tiang gol, bola datang balik tetapi pemain pertahanan tak beri tindak balas. Bukan pertahanan sahaja, semua pemain yang ada disitu mereka ‘give up’. Itu yang saya tak suka”
”Separuh masa kedua mereka bermain dengan lebih baik tetapi kita bolos dengan jaringan mudah.”
Kekecewaan Satiananthan itu ada asasnya apabila Perak mempamerkan aksi meyakinkan pada babak pertama dengan penguasaan di jentera tengah juga jelas dapat disaksikan memihak skuad bimbingan Mehmed Durakovic itu.
Dua kesilapan pertahanan Perak bagaimanapun berjaya memberikan dua jaringan buat Selangor hasil jaringan Taylor Regan dan Endrick Dos Santos.
Namun, Perak berupaya memadam kelebihan Selangor sebanyak dua kali dan kemuncaknya pada minit ke-62 setelah Raianderson Da Costa Morais atau lebih dikenali dengan panggilan Careca menjaringkan gol kemenangan buat pasukan tuan rumah.
Selangor cuba bangkit dengan aksi lebih tersusun pada babak kedua tetapi segala usaha dilancarkan tidak berhasil untuk mereka berputih mata di Ipoh.
Kredit foto: FA Selangor