Komitmen serta disiplin tinggi yang sentiasa dipamerkan pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin ketika sesi latihan dan juga sewaktu menghadapi satu-satu perlawanan nyata mencuri tumpuan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Satiananthan.
Memetik sumber Sinar Harian, jurulatih berusia 61 tahun tersebut melihat Indra Putra sebagai seorang pemain yang benar-benar komited dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
Satiananthan sudah pasti amat mengenali keperibadian pemain kelahiran Ipoh tersebut kerana beliau pernah menjadi ketua jurulatih Kelantan pada musim 2009 dan 2010 yang pada ketika itu Indra Putra turut membarisi skuad The Red Warrior itu.
“Sepanjang mengenali Indra Putra, saya dapati dia seorang pemain yang betul-betul komited. Semasa latihan dan juga ketika bermain dia serius.”
“Dia pemain yang mula-mula datang pada sesi latihan dan berlatih bersungguh-sungguh. Pada saya, dia boleh jadi role model terbaik kepada pemain muda.”
“Sudah tentu kalau saya jurulatih, pasti saya berbangga kalau dia ada dalam pasukan saya,” ujar Satiananthan kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Satiananthan yang kini sudah memasuki musim kedua membimbing Selangor bagi menghadapi saingan Liga Super turut percaya Indra Putra mampu untuk terus melakarkan jaringan pada musim 2020.
“Pada usia 39 tahun, saya tidak lihat dia seakan mahu berhenti bermain. Dia kelihatan tidak pernah mahu berhenti dan dia telah berjaya jaringkan gol yang ke-100 dalam Liga Malaysia.
“Dia juga sentiasa diberi kepercayaan beraksi selama 90 minit. Bukannya sebagai pemain gantian atau beraksi selama 20 minit, 30 minit.”
“Sebab itulah saya juga percaya, dia pasti mahu dan mampu menjaringkan lebih banyak gol musim ini,” ujar Satiananthan.
Kredit foto: Kuala Lumpur Hawks