Ketiadaan penyerang utama memaksa pengendali pasukan Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah mempertimbangkan untuk mendapatkan seorang penyerang utama pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) yang akan dibuka pada 14 Mei ini.
Menurut laporan daripada Berita Harian, Azraai dikatakan akan berbincang dengan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) untuk mendapatkan seorang lagi pemain import di posisi serangan.
“Saya rasa yang ketara sekali anda semua boleh nampak Negeri Sembilan bermain dengan seorang penyerang bertubuh kecil, malah dia lebih kepada penyerang sokongan (yang sesuai memakai jersi) nombor 10.
“Kami perlukan pemain ‘nombor 9’, macam Selangor mereka ada Rufino (Segovia) dan Amri (Yahyah) yang memberi sokongan dari belakang, tapi kami tiada. Jadi, saya harap boleh dapatkan seorang penyerang utama pada jendela perpindahan nanti.
“Sekurang-kurangnya dapat memberi lebih sengat kepada pasukan. Nicolas (Velez) ada kemahiran dan kebolehan, tapi dia keseorangan, jadi kita perlukan seseorang untuk membantu dia,” katanya.
Namun begitu, beliau masih belum memiliki nama pemain yang berada dalam radar Negeri Sembilan untuk diikat pada jendela perpindahan itu nanti.
“Kami akan tengok pada kesesuaian, mungkin dari ASEAN. Saya kena bincang dengan pengurusan dan buat masa sekarang kita perlu rancang pelan A dan pelan B.
“Itu keputusan yang akan saya buat. Kalau nak kekal dalam liga, kami kena dapatkan seorang penyerang yang boleh mengawal bola dengan baik dan melancarkan bahagian serangan. Bukan macam sekarang, hantar bola tapi hilang,” katanya.
Negeri Sembila tewas kepada Selangor 1-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, dalam aksi Liga Super kelmarin.
Ia adalah kekalahan kelima Negeri Sembilan musim ini selepas mengharungi tujuh perlawanan dan hanya mengumpul empat mata.