Azmil Azali: Komander Ulung Pertahanan Johor Era 90-An

Azmil Azali Johor

Sifat kepimpinan yang tinggi serta begitu tangkas dalam mematahkan asakan penyerang pasukan lawan ketika zaman kegemilangannya menjadikan Azmil Azali sebagai antara pertahanan tengah terbaik pernah dimiliki Johor dan Harimau Malaya.

Karisma hebat bekas pemain yang mula mencipta nama ketika menyarung jersi Johor itu sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Kemahiran tandukan yang sangat baik juga menjadi antara senjata utama buat beliau.

Terkenal sebagai seorang pertahanan kental dan sangat ‘commanding’, Azmil juga dilihat sebagai pemain yang amat komited dalam memastikan momentum pasukan terbina.

Sehubungan dengan sikap tersebut, tidak keterlaluan juga untuk mengatakan beliau adalah ‘motivator’ dalam pasukan tanpa mengira apa keadaan sekalipun.

Mentaliti itu turut dibawa ke hari ini walaupun beliau yang kini bertugas di Syarikat Ranhill Water Services, Johor Bahru hanya beraksi untuk pasukan veteran. Tetapi jangan terkejut kerana Azmil bukan hanya beraksi untuk kategori veteran tetapi stamina dan kudrat beliau masih ‘tip-top’.

Namun, karakter itu cukup berbeza sama sekali ketika di luar padang kerana Azmil Azali adalah seorang yang periang dan ‘gila-gila’.

Azmil Azali ketika menyarung jersi Johor.

Pembabitan awal dalam bola sepak

Azmil ketika dihubungi Semuanya BOLA mendedahkan bahawa beliau mula terlibat secara serius dalam bola sepak sejak berusia 10 tahun. Selepas itu, beliau menaruh harapan untuk terus berada dalam kancah sukan nombor satu dunia itu.

Segalanya berada di landasan tepat kira-kira lapan tahun kemudian bagi merealisasikan impian itu apabila Azmil telah terpilih untuk menyertai skuad Piala Presiden Johor pada tahun 1991.

Hanya setahun bersama skuad tersebut, Azmil sudah berjaya mencuri tumpuan ketua jurulatih, Micheal Urukalo untuk menyerapkannya ke pasukan utama Johor yang ketika itu masih segar dengan kejayaan menjuarai saingan Liga Semi Pro Divisyen 1 dan Piala Malaysia 1991.

Karier semakin berkembang bersama Johor

Membarisi skuad utama Johor pada usia 19 tahun menyaksikan Azmil memerlukan dua tahun untuk membuktikan kualiti yang dimilikinya sebagai seorang pertahanan tengah berbakat besar apabila beliau mula mendapat kepercayaan sebagai pemain kesebelasan utama pada musim 1994.

Selepas daripada itu, beliau terus menunjukkan peningkatan dalam corak permainannya sehinggalah mendapat panggilan skuad kebangsaan buat kali pertama pada Mei 1996.

Lebih manis, penampilan pertama buat Azmil Azali bersama skuad negara adalah diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama menentang pasukan Liga Perdana Inggeris (pada ketika itu), Middlesbrough di Stadium Merdeka. Middlesbrough yang dibimbing Bryan Robson telah diperkuatkan dengan kehadiran Nick Barmby, Juninho dan Emerson dan ramai lagi.

Meskipun skuad negara tumpas dengan keputusan 0-5, Azmil pastinya gembira dengan pengalaman yang cukup berguna dinikmatinya berdepan lawan sedemikian.

Azmil bersama rakan sepasukan, Azmi Mohamed meraikan kejayaan muncul juara Piala FA 1998. Kredit foto: Johari Yop

Suka duka karier

Antara detik indah dalam karier bola sepak Azmil Azali adalah kejayaan membantu Johor menjulang Piala FA 1998 ketika menumpaskan Sabah 1-0 pada perlawanan akhir bertemu Sabah yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Jaringan tunggal Milan Blagojevic pada minit ke-31 itu sudah cukup untuk menghadiahkan malam gemilang buat para penyokong Johor. Azmil turut beraksi penuh 90 minit pada perlawanan bersejarah itu.

Setahun kemudiannya, Johor yang mendapat bimbingan Steve Darby muncul pula selaku juara Liga Perdana Dua. Kejayaan bagi dua musim itu nyata menjadi antara kenangan manis buat Azmil sepanjang pembabitannya dalam bola sepak.

Di peringkat antarabangsa pula, Azmil turut mengganggotai skuad negara ketika meraih tempat kedua dalam saingan Piala Tiger (sekarang Piala AFF Suzuki) edisi pertama di Singapura selepas tunduk 0-1 di tangan Thailand.

Dalam pada itu, Azmil turut berkongsikan bahawa kecederaan patah tulang bahu kiri ketika sesi latihan adalah merupakan kenangan pahit buat beliau.

“Sepanjang beraksi, Alhamdulillah saya tidak pernah mengalami sebarang kecederaan yang serius.”

Ketika mewakili skuad negara di Piala Tiger 1996.

Pernah berkelana ke dua pasukan

Selain daripada Johor, Azmil turut pernah dipinjamkan ke Pahang pada musim 2002 bagi menghadapi Piala Malaysia kerana Johor pada masa itu gagal untuk melayakkan diri ke saingan tersebut.

Bersama Pahang, beliau diberikan jersi bernombor ‘9’. Nombor sama yang dipakai ketika awal karier beliau bersama Johor.

Memasuki musim 2003, beliau memilih untuk meninggalkan Johor dan berhijrah ke negeri kelahirannya, Melaka dan mengumumkan persaraan, setahun kemudian.

Perbezaan bola sepak dahulu dan sekarang menurut kaca mata Azmil Azali

”Zaman saya beraksi, pemain semua hebat-hebat. Mereka memiliki fizikal yang kuat dan sangat sukar untuk merebut tempat atau posisi sekiranya diri kita sendiri tidak berusaha. Bekerja keras dan komited.”

”Tahap pemain dulu lebih baik jika hendak dibandingkan dengan pemain sekarang tetapi fasiliti ternyata sekarang lebih baik dan moden,” ujar Azmil kepada wakil Semuanya BOLA.

Kredit foto: Facebook Azmil Azali & Johari Yop

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN