Sebentar tadi, laman Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) iaitu FA Penang mengumumkan kemasukan bekas pemain JDT, Azinee Taib yang akan menyarung jersi pasukan tersebut bagi musim 2018.
Laman tersebut memaparkan gambar Azinee Taib menandatangani kontrak sambil disaksikan oleh Naib Presiden FAP, Mohd Azizuddin Mohd Shariff.
Rata-rata penyokong memberikan makluman positif dan percaya Harimau Kumbang akan kembali mengaum pada musim ini.
Azinee merupakan antara tonggak yang membantu Pulau Pinang kembali ke Liga Super 2016 selepas pasukan itu muncul naib johan Liga Perdana 2015.
Beliau sebelum ini menyarung jersi JDT pada tahun 2016 selepas tamat kontrak dengan pasukan Penang dan sempat membantu skuad Mario Gomez menjuarai Liga Super.
Pada tahun 2017, Azinee ‘diturunkan pangkat’ ke JDT II dan memilih untuk menyertai Melaka United pada perpindahan kedua pada bulan Jun dengan status sebagai pemain pinjaman.
Pemain kelahiran Johor ini sebenarnya sudah mewakili JDT sejak tahun 2013 ketika di bawah bimbingan Fandi Ahmad. Sepanjang tempoh Fandi Ahmad yang bertanggungjawab pada tahun 2013, Azinee bergelut untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama pada masa itu.
Kemudian, dia kembali ke JDT II yang dahulunya dikenali sebagai Johor FA pada tahun 2014 untuk lebih kerap diturunkan dalam perlawanan bola sepak dan dia membuktikan kebolehannya serta mendapat penyokong.
Dia berharap untuk kembali ke JDT pada tahun 2015 tetapi tidak berjaya. Pada ketika itu JDT dibimbing oleh Bojan Hodak. Namun, ia seperti menjadi satu rahmat kerana Azinee berjaya berpindah ke Pulau Pinang walaupun secara pinjaman.
“Saya tahu memang sukar untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama tetapi jika kita bersungguh-sungguh dan sentiasa bekerja keras tidak mustahil untuk diserapkan.
“Pengalaman beraksi bersama JDT dan Melaka United pada musim lalu memberi saya lebih keyakinan dan berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang memberi ruang untuk beraksi bersama pasukan itu.” katanya.
Selama setahun Azinee berada di JDT, dia berjaya menjaringkan 3 gol dan membantu JDT memenangi tiga piala iaitu Piala Sumbangsih, FA dan Liga Super. Namun, pada tahun lepas, dengan pertukaran coach kepada Benjamin Mora, nasib Azinee Taib juga berubah.