Analisis: Paul Pogba vs Everton, Bukti Mourinho Harus Bina Sistem Yang Betul

Dalam perlawanan menentang Everton semalam, saya bersyukur kerana tidak menutup tv lebih awal. Ini kerana pada separuh masa pertama aksi Manchester United agak ‘disjointed’. Mereka gagal bermain secara berpasukan.

Terlalu banyak hantaran tidak penetratif dilakukan pada separuh masa pertama dengan kurang kreativiti. Tetapi apa yang berlaku pada separuh masa kedua ternyata satu dimensi yang berbeza.

Pogba dengan peranan lebih ‘advance’

Hanya dengan ‘tweaks’ pada posisi dan peranan Pogba, Mourinho berjaya mewujudkan pasukan Manchester United yang sepatutnya Manchester United bukannya pasukan yang semata-mata bermain untuk menang.

Telah banyak diperdebatkan yang Manchester United di bawah Mourinho telah hilang karakter untuk bermain lebih ofensif. Ada sesetengah penyokong menerima taktikal rigid ini asalkan menang.

Namun persoalannya, adakah mereka mampu menang dengan taktikal yang lebih fluid dan kombinasi permainan yang lebih banyak?

Jawapan pada separuh masa kedua di Goodison Park sudah cukup menjawab pasukan ini lebih daripada mampu untuk melakukannya.

Dalam bola sepak, kami percaya pembentukan DNA itu akan menjamin karakter yang lebih konsisten dalam sesebuah pasukan. Musim lalu, Manchester United mendapat 2 piala dan 1 perisai komuniti di bawah Jose Mourinho.

Namun ia bukan alasan untuk pasukan seperti Manchester United tidak boleh bermain seperti mana era Alex Ferguson yang ego tinggi. Mereka lebih rela kalah 3 gol berbanding dengan bertahan untuk menghampakan pasukan lawan.

Fokus saya kali ini adalah kepada Paul Pogba. Apa yang dilakukan oleh Mourinho kepada pemain termahal dalam sejarah bola sepak Inggeris ini.

Pada separuh masa pertama Paul Pogba bermain sebagai pemain tengah kotak ke kotak seperti mana beliau dalam kebanyakan perlawanan musim ini. Tidak ada sistem yang benar-benar berbeza daripada beberapa perlawanan terakhir United.

Paul Pogba juga sering digunakan sebagai pivot kembar kepada Matic ataupun dia sendiri menjadi pengganti Matic sebagai no.6.

Apa pula bezanya dengan peranan Pogba ketika separuh masa kedua di Goodison Park?

Bezanya, Pogba diarahkan bermain seperti false number 10. Beliau lebih advance di bahagian serangan. Kurangnya beban untuk bertahan membolehkan Pogba fokus kepada merencana gerakan di garisan tinggi.

Mourinho mengarahkan Hererra dan Matic sebagai asas (base) kepada sistem 4-3-3 beliau yang lebih kepada 4-2-1-3. Pogba diberikan peranan sangat bebas.

Pogba beraksi sebagai pemain tengah serangan sebelah kiri atau bahasa ‘FIFA’ anda semua, AML.

Half space adalah kawasan jajahan Pogba

Pogba nampak sangat tajam untuk bergerak di half-space dan lebih menikmati peranan ini. Beliau tidak terlalu ke tengah dan tidak terlalu ke sisi.

Dalam melakukan hantaran kunci, koridor half-space adalah lebih mudah untuk beliau berbanding dengan melakukan hantaran kunci daripada tengah.’

Jika terlalu ke tengah, Pogba akan ada opsyen yang lebih kepada mengimbangi perlawanan dan melorongkan bola ke bahagian sayap. Jadi, aktiviti mencipta peluang secara langsung adalah lebih terhad.

Pada separuh masa pertama anda memang akan melihat Pogba banyak berlari ke bahagian half-space kanan atau kiri tetapi penambahbaikan sistem ini membolehkan pemain seperti Lingard memberikan ‘lesen’ kepada Pogba menggunakan zon beliau dan dia akan berlari mencari platform baru.

Lihat salah satu contoh di bawah ini mereka melakukan pertukaran posisi dengan lebih semulajadi dan pemain tidak bersesak di satu zon.

Bandingkan dengan apa yang berlaku pada separuh masa pertama apabila mereka gagal membentuk gerakan yang fluid.

Ini adalah heatmap Paul Pogba di dalam perlawanan ini yang menunjukkan dia dikurangkan beban bertahan dan lebih banyak berlegar di half-space kiri.

Bezakan dengan heatmap beliau ketika menentang Southampton. Arah panah itu adalah merujuk kepada arah serangan. Anda dapati Pogba lebih defensif. Sedangkan Southampton bermain lebih rendah intensiti berbanding dengan Everton.

Ini pula ketika menentang Burnley, anda pun boleh lihat beban bertahan itu juga lebih tinggi.

Belajar daripada Juventus

Ketika di Juventus, inilah peranan Pogba dengan Vidal dan Pirlo beroperasi di belakang beliau. Pogba diberikan kebebasan untuk lebih menyerang.

Jadi, tiada sebab untuk Jose Mourinho tidak menggunakan kaedah yang sama selepas ini sekiranya beliau mahu mendapatkan yang terbaik daripada Paul Pogba.

Pasti akan ada bertanya, bukankah membentuk pasukan daripada seorang pemain itu akan membebankan pemain lain? Dalam kes Pogba ini, Mourinho tak perlu membentuk sistem yang mengorbankan semua pemain lain. Beliau hanya perlu memberikan kebebasan kepada Pogba di tengah.

Padangan penulis

Jadi, buat masa ini, gandingan Matic dan Hererra sangat perlu untuk melaksanakan sistem ini. Jika berterusan dengan sistem ini, Pogba secara tak langsung akan memansuhkan peranan no.10 yang kerap dimainkan Mkhitaryan.

United akan bermain dengan ‘advance attacking midfielder’. Jadi, Mkhitaryan akan terpaksa bermain di peranan sayap, begitu juga dengan Mata. Adaptasi pemain seperti Mkhitaryan dan Mata sangat penting untuk memastikan mereka relevan dalam sistem ini.

Seterusya, saya juga berpendapat, fluiditi pada sistem no.9 mereka juga banyak membantu. Mereka tidak bermain dengan sistem target man klasik seperti yang mereka kerap mainkan dengan Lukaku.

Jadi, tak perlu terlalu memikirkan soal menghantar hantaran lintang dari sayap sepanjang 90 minit. Apa yang harus Lukaku lakukan adalah perlu lebih bersedia untuk bermain lebih fluid dengan permainan kombinasi yang lebih tinggi.

Rumusannya, jika anda peminat Manchester United, anda pasti akan berkata:

‘Inilah Manchester United yang saya lihat dahulu.’

Tetapi untuk aksi separuh masa kedualah.

Apa pula kata peminat Manchester United dan pembaca semuanyaBOLA yang menonton aksi perlawanan Manchester United vs Everton. Adakah anda rasa itu adalah sistem terbaik untuk United?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN