Bekas pemain tengah Pahang, JDT dan Selangor, Azamuddin Akil diumumkan sebagai pemain baharu Kedah FA untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia 2019.
Perkara itu diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak kedah (KFA) sebentar tadi melalui rangkaian media sosial milik mereka.
Azamuddin Akil
Menurut KFA, kontrak bersama Azamuddin adalah berasaskan kontrak bersyarat. Pemain tersebut diwajibkan membuktikan dirinya cergas untuk tempoh tiga bulan sebelum diberikan insentif pendapatan yang beliau layak perolehi.
Perkara itu sedemikian dipercayai kerana kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) yang dialami beliau hampir pada keseluruhan tempoh musim lalu ketika bersama Selangor.
Pemain tengah berusia 33 tahun ini hanya tampil dalam enam perlawanan Liga Super untuk skuad Red Giants sepanjang musim lalu.
“Komitmen Azamuddin untuk bersama KFA dengan kontrak bersyarat sedemikian merupakan satu contoh disiplin & komitmen yang baik kepada para pemain lain,” ujar kenyataan oleh KFA.
Bintang tempatan
Dalam perkembangan lain, KFA turut mengesahkan salah seorang anggota skuad kebangsaan yang bertanding di Piala AFF 2018 turut akan menyertai pasukan itu selepas kejohanan tersebut tamat.
Namun demikian, KFA belum lagi mengumumkan nama pemain tersebut – dan hanya akan memperkenalkan pemain tersebut setelah cabaran Malaysia di Piala AFF selesai.
Beberapa nama lain yang turut sudah disahkan akan membawa cabaran pasukan Kedah pada musim hadapan ialah seperti N. Thanabalan, Azmeer Yusof, Syahrul Azwari, dan Shahrul Igwan.
Dua lagi pemain import juga sudah disahkan iaitu Muhammad Shakir Hamzah dari Singapura, Anmar Fares dari Iraq, dan tiga lagi pemain dari Sepanyol dan Brazil masih dirahsiakan identiti.