Menurut perkongsian di Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bek kanan skuad B-23 negara, Azam Azmi Murad sudah dibenarkan keluar hospital tengah malam tadi selepas terpaksa dikejarkan ke hospital.
Pelanggarannya dengan Jaturapat Sattham di minit ke-62 menyaksikannya terpaksa digantikan Quentin Cheng untuk baki perlawanan dan beliau telah dikejarkan ke Hospital Province Nam Dinh untuk pemeriksaan lanjut. Brad Maloney telah bergegas ke hospital selepas perlawanan malam tadi bagi melihat keadaan Azam Azmi.
Menurut perkongsian awal oleh wartawan Astro Arena yang berada di Vietnam ketika ini, Azam Azmi mungkin akan direhatkan untuk beberapa perlawanan akibat kecederaan yang dialaminya di bahagian kepala tersebut.
WOOOWWWW! 🇲🇾🇲🇾🇲🇾
Malaysia capai kemenangan atasi Thailand 2-1! #HarimauMalaya pic.twitter.com/J7WshROzab— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) May 7, 2022
“Menurut makluman yang saya terima, Azam [Azmi] masih berada di hospital dan berada dalam keadaan sedar. Seperti yang dimaklumkan oleh Brad Maloney, beliau mengalami gegaran otak. Saya rasa ia satu kecederaan yang serius kerana kalau kita dapat lihat pelanggaran yang berlaku agak kuat. Saya percaya beliau akan diketepikan dalam beberapa perlawanan.”
Zulhelmi Zainal Azam, Astro Arena
Sebelum itu, di sidang media pasca perlawanan semalam, pengendali, Brad Maloney menyatakan beliau sudah menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang dihujani kekasaran dan terbukti beberapa pertukaran pemain terpaksa dilakukannya sepanjang perlawanan yang disebabkan oleh faktor kecederaan yang dialami pemain.
“Ia adalah perlawanan yang sukar dan fizikal. Kami sudah jangkakannya daripada Thailand. Terdapat beberapa kecederaan dan kita terpaksa membuat pertukaran pemain disebabkannya. Kita akan lihat semula tahap kecederaan itu apabila kembali ke penginapan. Azam [Azmi] mungkin mengalami gegaran otak dan kita akan lihatnya dengan lebih teliti sebelum mempertimbangkannya untuk aksi selepas ini.
Bad Maloney, sidang media Malaysia-Thailand
Dalam perlawanan pertama skuad negara berdepan Thailand untuk aksi Kumpulan B, Sukan SEA 2021, malam tadi, Malaysia berjaya menamatkan perlawanan sebagai pemenang apabila pemain gantian, Azfar Fikri Azhar menyumbat masuk jaringan kemenangan di minit-minit akhir perlawanan, membuat Thailand berputih mata.
15 minit pertama, Thailand lebih banyak mengasak kubu Malaysia dan sempat beberapa menguji Azri Ghani dan skuad kendalian Brad Maloney jelas gagal mengimbangi corak permainan pantas yang ditampilkan lawan.
Thailand akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-33 menerusi Patrik Gustavsson yang berjaya mengatasi dua pemain pertahanan sebelum rembatan lemah kaki kirinya berjaya mengelirukan penjaga gol, Azri Ghani.
Ketempangan Thailand bermula pada minit ke-41 apabila Jonathan Khemdee menerima kad merah kerana menarik Syahir Bashah yang bijak mengatasi perangkap ofsaid dan terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Gol yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma pada minit ke-61 hasil jaringan Danial Asri yang menampan menggunakan lutut hantaran lintang Mukhairi Ajmal untuk menewaskan Kawin Thamsatchanan di gawang.
Dan gol kemenangan Harimau Muda akhirnya terhasil pada minit terakhir masa kecederaan selepas pemain gantian, Azfar Fikri bijak menyudahkan peluang dalam keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Thailand.