KL City Jadi Mangsa Kejutan Sri Pahang, Gol Menarik Azam Azih ‘Bak Peluru’

Penyokong Sri Pahang boleh kembali menarik nafas lega apabila pasukan kesayangan mereka kembali meraih kemenangan kedua musim ini dalam saingan Liga Super musim 2022 setelah menumpaskan juara Piala Malaysia tahun lalu, Kuala Lumpur City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Setelah bermula dengan agak sedikit perlahan musim ini, segelintir penyokong mula melahirkan rasa kurang yakin dengan corak permainan ditampilkan oleh anak buah Christophe Gamel walaupun hadir dengan barisan import yang agak menyakinkan.

Namun perlawanan semalam berjaya dinoktahkan dengan kemenangan kembali dan lebih manis Sri Pahang mencatat keputusan positif tersebut di gelanggang lawan untuk memberi lebih kegembiraan pada mereka.

Jika dilihat pada rekod perlawanan lepas, Sri Pahang mencatat kemenangan buat pertama kali hanya sewaktu bertemu pasukan Penang sebelum meraih tiga mata buat kali kedua semalam.

Dalam aksi tersebut, Sri Pahang terlebih dahulu memperoleh gol menerusi pemain tengah berpengaruh mereka iaitu Nor Azam Azih pada minit ke-36 menerusi satu rembatan cantik jarak jauh untuk menewaskan Kevin Ray Mendoza.

Sebelum itu juga kelibat Azam sering menghadirkan rasa sukar buat pertahanan lawan apabila berjaya mencipta lorongan-lorongan cantik buat penyerang bagi melepasi pertahanan KL City.

Selain kelibat Azam, aksi penjaga gol import Sri Pahang iaitu Mamadou Samassa juga tidak kurang cemerlang apabila berjaya menafikan dua percubaan berbahaya daripada tuan rumah termasuk sepakan percuma daripada Paulo Josue pada minit ke-42.

Manuel Hidalgo terus melebarkan jurang buat Sri Pahang apabila pemain lincah ini berjaya meledak penalti pada minit ke-77 setelah pertahanan tuan rumah, Declan Lambert menepis bola dengan tangan dalam petak penalti.

KL City cuba mencipta kebangkitan pada penghujung perlawanan menerusi gol yang diledak Paulo Josue pada minit ke-85 namun segalanya telah terlewat dan keputusan kekal dengan Sri Pahang 2-1 Kuala Lumpur City.

Pada awal musim ini, KL City gagal memberi impak yang baik seperti aksi mereka pada musim lalu apabila sekadar mencatat dua kemenangan, satu seri dan empat kekalahan daripada tujuh perlawanan dengan mengutip tujuh mata.

Sri Pahang pula berjaya mempamerkan aksi lebih baik berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini dengan gol Azam Azih menjadi titik penting kepada motivasi para pemain meningkat dan beraksi lebih bagus.

Ikuti kami di TikTok!

Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.

Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!

Leave a Reply