Pemain tengah Pahang dan skuad kebangsaan, Nor Azam Abdul Azih tidak sabar turun beraksi dalam perlawanan yang seterusnya sekaligus membantu Pahang mencipta kemenangan kedua dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018.
Bercakap kepada Berita Harian, pemain kelahiran Jengka itu percaya komitmen tinggi daripada rakan sepasukan akan meletakkan skuad Tok Gajah pada kedudukan terbaik dalam saingan liga.
“Saya akui tidak dapat beraksi dengan baik pada pertemuan dengan Perak hingga ditegur jurulatih (Dollah Salleh) yang melihat prestasi serba tidak menjadi.
“Tetapi, saya menebusnya dengan prestasi lebih baik pada pertemuan dengan PKNS FC dan Kelantan, termasuk menjaringkan satu gol ketika menewaskan Kelantan 3-0.
“Ia adalah permulaan untuk memberi lebih keyakinan kerana aksi lebih sengit bakal menanti Pahang terutama pertemuan dengan musuh tradisi, Selangor pada 24 Februari ini,” katanya.
Skuad Tok Gajah kini mengumpulkan 4 mata selepas 3 perlawanan Liga Super setelah berjaya menewaskan Kelantan, 3-0 dan terikat tanpa jaringan dengan Perak pada perlawanan pertama.
Azam berkata, kenyakinan rakan sepasukannya semakin meningkat dan mereka sememangnya tidak sabar bertemu Selangor pada 24 Februari ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
“Kami akan tampil dengan aksi lebih tersusun dan memastikan setiap perlawanan dengan membawa pulang tiga mata bukan saja di laman sendiri, malah di tempat lawan,” jelasnya.
Azam Azih adalah sebahagian daripada pemain yang beraksi cemerlang bersama skuad B-23 negara dalam Kejohanan AFC B-23 di China bulan lepas.
Malah, beliau sempat membantu Malaysia memungut pingat perak dalam acara Bola Sepak Sukan SEA yang diadakan di ibu negara tahun lepas.