Tonggak tengah kebangsaan, Nor Azam Azih antara nama yang mencuri tumpuan kini selepas beliau terus mencuri perhatian pengendali Harimau Malaya iaitu Kim Pan-gon untuk dua perlawanan antarabangsa seterusnya.
Azam bukan lagi nama asing buat bola sepak negara, selepas sumbangannya sejak sekian lama menjadikan pemain itu antara paling berpengaruh bersama Harimau Malaya.
📽 Dengarkan komen daripada dua pemain Harimau Malaya, Paulo Josue & Nor Azam Abdul Azih pada hari ke-4 kem latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi.
▶️ Tonton video penuh di https://t.co/gwfkkQuGSV#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/zNtpVFiQn4
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 1, 2023
Bawah kendalian Kim Pan-gon, tonggak utama Sri Pahang ini terus terpilih untuk menyertai kem kebangsaan walaupun kini Malaysia semakin ramai melahirkan pemain-pemain tengah baharu berbakat.
Jelas Azam, beliau hampir menggantung but empat tahun lalu disebabkan isu kecederaan dialami, namun ianya tidak melunturkan sedikit pun semangat demi berbakti buat skuad negara.
Untuk rekod, Azam pernah mengalami kecederaan hamstring serta Medial Collateral Ligament (MCL) dan berfikir untuk bersara selaku pemain bola sepak profesional kerana masalah tersebut.
Namun, pemain ini umpama mendapat semangat baharu selepas terus diberi kepercayaan oleh Kim untuk menjadi salah seorang tonggak penting buat pasukan kebangsaan.
Azam juga memasang tekad untuk mempamerkan aksi lebih berkualiti bersama skuad kebangsaan serta memberi impak positif walaupun masih dihantui isu kecederaan.
“Saya diberi peluang main kali ini akan buat yang terbaik kerana pada aksi persahabatan di Johor sebelum ini permainan ditampilkan agak ‘down’.
“Sekarang ini memang ada rasa tapi saya cuba lupakan semua itu (kesakitan) kerana apabila kita cedera otak memainkan peranan.
“Pada empat atau lima tahun lalu memang saya rasa ‘down’ dan terfikir untuk berhenti main bola namun bangkit kembali untuk buktikan sesuatu kepada semua,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Pada masa sama, pemain tersebut juga mengakui corak latihan ditampilkan oleh Kim juga berbeza serta sangat pantas yang membuatkan Azam agak sukar untuk mengikut rentak diingini pengendali tersebut.
Selamat maju jaya kepada 3 tonggak Sri Pahang FC, Azam Azih, Sergio Aguero dan Shamie Iszuan yang telah dipanggil untuk menjalani latihan pusat skuad Harimau Malaya. pic.twitter.com/Xb4kr3Ovh1
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) September 1, 2023
“Kalau kita lihat taktikal ditampilkan barisan kejurulatihan untuk skuad kebangsaan agak laju sekali gus pada peringkat awal susah untuk saya ikut.
“Namun, sekarang ini sudah biasa dengan situasi berkenaan dan mengharapkan kita mampu cipta keputusan positif pada pertemuan menentang China serta Syria,” katanya lagi.
Azam dijangka akan bersaing sengit bersama rakan sepasukan lain dalam usaha untuk memenangi hati jurulatih kelahiran Korea Selatan tersebut bagi dua aksi persahabatan akan datang.