Seiring dengan pengumuman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang skuad senior akan beraksi di Pestabola Merdeka tahun depan, pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih ada misi tersendiri.
Selepas disisih untuk saingan Piala AFF Suzuki yang lalu, kini Azam memasang misi untuk kembali memikat ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe seterusnya merebut tempat untuk ke kejohanan tersebut.
“Saya akui terkilan apabila tidak disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya ke Piala AFF lalu. Tapi ia tidak memadam misi saya untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan,” ujarnya yang dipetik berkata kepada Berita Harian.
Pemain berusia 23 tahun itu telah digugurkan daripada senarai akhir pemain untuk kejohanan Piala AFF yang lalu atas sebab kecergasan apabila baru pulih daripada kecederaan.
Bercakap kepada Berita Harian, Azam menjelaskan yang dia boleh kembali cergas untuk beraksi di pentas AFF namun menghormati pendirian jurulatih yang tidak mahu mengambil risiko.
Walaubagaimanapun, isu tersebut menjadi panas apabila para penyokong kurang bersetuju dengan penggugurannya yang beraksi cemerlang bersama Pahang dan skuad B-23.
Dengan Cheng Hoe hanya menyenaraikan Syamer Kutty Abba, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj, ramai menjangkakan yang skuad kebangsaan akan bergelut di jentera tengah.
Malaysia berjaya melepasi ekspektasi awal apabila beraksi baik dan berjaya melangkah ke pentas final selepas berjaya menundukkan Raja Bola Sepak Asean, Thailand untuk bertemu Vietnam.
“Pestabola Merdeka yang akan dilangsungkan Mac depan adalah masa terbaik untuk membantu skuad negara meraih kejayaan.
“Oleh itu, saya akan pastikan saingan Liga M sebagai misi untuk meyakinkan jurulatih memilih saya dalam skuad Harimau Malaya,” ujar Azam yang telah memiliki 3 kaps antarabangsa.
Bakal memasuki musim ke-4 bersama Pahang, Azam adalah tonggak penting Tok Gajah dengan membuat 33 penampilan, antara yang terbanyak selain Helmi Eliza dan Muslim Ahmad.
FAM mengesahkan akan menganjurkan semula Pestabola Merdeka pada Mac depan dan skuad kendalian Cheng Hoe bakal dihantar untuk bersaing dalam kejohanan penuh nostalgia itu.
Selain berpeluang untuk menebus kegagalan di pentas akhir Piala AFF selepas tewas kepada Vietnam tempohari, inilah masanya untuk Cheng Hoe mengasah lagi kemampuan skuadnya.