Di sebalik kegembiraan hampir 67 juta rakyat Perancis di atas kejayaan skuad bola sepak mereka menjuarai Piala Dunia 2018, terdapat seorang insan yang cemburu melihat kejayaan tersebut.
Insan yang dimaksudkan adalah Aymeric Laporte, pemain pertahanan Manchester City yang tidak tersenarai dalam skuad bimbingan Didier Deschamps di Rusia.
Pemain berusia 24 tahun yang masih belum membuat sebarang penampilan bersama skuad senior Les Blues itu jelas terkilan Perancis menjuarai piala berprestij itu tanpa dirinya bersama pasukan.
”Sejujurnya, terdapat perasaan cemburu. Keputusan telah dibuat dan anda perlu untuk menerimanya. Itulah bola sepak.”
”Ia tidak mengejutkan buat saya kerana saya juga tidak terlibat dengan pasukan sebelum ini. Skuad dinamakan tanpa saya tetapi ia masih terasa sedikit kekecewaan buat diri saya kerana tidak terlibat.”
Bagaimanapun, keadaan itu turut dirasakan Laporte dapat memberikan kebaikan buatnya selepas tidak berpeluang untuk bersama-sama ke Rusia.
”Ia merupakan musim panas yang baik. Terdapat banyak masa untuk saya berehat bersama keluarga dan rakan-rakan. Saya gembira untuk kembali ke rumah selepas menghadapi musim yang sukar.”
Selain dari Perancis, Aymeric Laporte juga layak untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Sepanyol. Namun, beliau lebih memilih untuk bersama Perancis.
Laporte dibawa masuk ke Manchester City pada penghujung jendela perpindahan bulan Januari lalu dari Athletic Bilbao dengan nilai berjumlah £57 juta.