AXA KVL M5: Shah Alam Antlers Lakar Kemenangan Bergaya Tewaskan KL Gators 1-0

Shah Alam Antlers membuka kempen AXA KVL M5 mereka dengan bergaya apabila menumbangkan KL Gators 1-0 dalam perlawanan menghiburkan di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) malam semalam. Gol tunggal Shah Alam Antlers dijaringkan oleh Salihan Jamil.

Beraksi menentang KL Gators yang rata-ratanya dibarisi oleh pemain-pemain berpengalaman, pemain-pemain muda Shah Alam Antlers tidak gentar untuk menunjukkan corak permainan menarik mereka. Seawal minit ke-4, Hafizzudin Hassan sudah menguji penjaga gol Gators, Amardeep Singh. Bagaimanapun percubaan Hafizzudin tepat ke dakapan Amardeep.

Keberanian Antlers melakukan pressing and bermain hantaran-hantaran pendek di zon middle third nyata menyukarkan Gators untuk merancang serangan buat penyerang tunggal mereka, Kizito Somadina. Kerap kali Salihan Jamil, Adam Nizam dan Hafizzudin mencipta segi tiga mini di poket-poket ruang sebelah kanan kubu Gators, tetapi teknik penyudah mereka agak mengecewakan.

Sebanyak 3 peluang ciptaan Antlers dikecewakan oleh penyudah yang tumpul. Tetapi yang paling mengecewakan adalah penyudah Salihan Jamil pada minit ke-30.

Salihan Jamil (jersi putih) merupakan pemain Shah Alam Antlers yang paling berbahaya sepanjang perlawanan menentang KL Gators.

Berpunca daripada serangan balas, Adam Nizam berjaya melakukan hold-up play yang baik untuk mencari rakan penyerangnya, Salihan Jamil. Salihan kemudiannya berjaya memperdaya pertahanan Gators, Alexander Gerard untuk melepaskan rembatan. Bagaimanapun rembatan tersebut sekali lagi melayang tinggi melepasi palang gol.

Kebergantungan Gators yang keterlaluan kepada Kizito untuk membuat serangan membuatkan penyerang tersebut sering terasing dan mudah ditangani Luqman Hadi dan Azeem Azhar. Pada separuh masa kedua, barulah Kizito disokong oleh rakan sepasukannya, Arvind Kumar.

Bagaimanapun kubu pertahanan Antlers masih utuh. Ini memberikan platform buat pasukan Shah Alam ini untuk terus menyerang. Ditambah pula dengan kemasukan penyerang import, Sherif Ahmed, Antlers nampak lebih berbahaya ketika menyerang.

Penyerang Shah Alam Antlers, Sherif Ahmed cuba menghalang pemain KL Gators, Keith Lester.

Tetapi Gators juga mempunyai ayam tambatan mereka tersendiri. Bekas penjaga gol Kelantan FA dan Pulau Pinang FA dalam Liga Super, Syed Adney masuk menggantikan Amardeep Singh untuk menguatkan kubu pertahanan Gators yang hebat digasak Antlers sejak separuh masa pertama.

Kredit harus diberikan kepada Antlers kerana tetap berjaya mengekalkan intensiti dan keinginan tinggi untuk menyerang. Hasilnya pada minit 49’, usaha mereka membuahkan hasil apabila Sherif Ahmad melakukan link-up play cemerlang untuk menemui Salihan yang merembat kencang dengan kaki kiri – menewaskan Syed Adney di bahagian near post.

8 minit kemudian, Antlers berpeluang menggandakan kelebihan mereka apabila hantaran lintang dari kiri oleh Salihan menemui Adam Nizam. Bagaimanapun penyudah Adam sedikit tersasar ketika Syed Adney sudah pun tertewas.

Meskipun ketinggalan, Gators masih tidak mampu menjana siri serangan untuk menyamakan kedudukan lantaran pressing intensif dari Antlers. Ini membolehkan Antlers pulang ke Shah Alam dengan 3 mata untuk memulakan kempen liga mereka dengan nota ceria.

Statistik perlawanan

Pemain terbaik perlawanan: Salihan Jamil (Shah Alam Antlers)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN