Ultimate FC mara ke separuh akhir saingan AXA KVL M5 selepas menang bergaya 3-0 pada perlawanan menentang Ampang United di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Perdana, kelmarin.
Aksi seimbang dipamerkan pada babak pertama dengan kedua-dua pasukan berusaha keras bagi memburu jaringan pembukaan.
Pemain Ampang United, Eneh Chukwuebuka Cletus menyelamatkan pasukannya dari dibolosi pada minit ke-4 selepas pertahanan import itu berjaya menghalang bola percubaan pemain Ultimate FC di atas garisan gol.
Ultimate yang meletakkan harapan kepada Phillip Abbah Eugine dan Chukwu Nnabuke Chijioke dilihat lebih memberikan ancaman terhadap kubu Ampang United.
Ia dibuktikan pada minit ke-18 selepas hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Ampang United terus mencari Chijioke yang tidak dikawal di hadapan gol.
Tidak tamak dengan peluang dimiliki, beliau mengumpan ke belakang kepada Phillip Abbah yang dengan tenang menyempurnakan peluang untuk gol pertama buat Ultimate FC.
Chijioke hampir menggandakan penguasaan buat Ultimate FC selepas beliau dengan cemerlang melakukan gerakan solo menuju ke gawang Ampang United, namun percubaan yang dilepaskan sedikit melewati palang gol pada minit ke-24.
Ampang United yang tidak memberikan laluan mudah buat Ultimate FC terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-33.
Muhammad Zarif Norzamry gagal menyudahkan hantaran lintang kemas dari Muhamad Amin Suiyanto walaupun beliau hanya berhadapan penjaga gol, Muhamad Zulfadhli Ahmad Kamal.
Perlawanan tambah menarik pada separuh masa kedua dengan serangan yang dilancarkan ternyata begitu mengancam gawang kedua-dua pasukan.
Akbar Sanjani Nasution melepaskan sepakan percuma cantik pada minit ke-45 tetapi ia masih belum mampu untuk menjelmakan jaringan buat Ampang United apabila percubaannya hanya sedikit melewati palang.
Berselang dua minit kemudian, Chijioke terus mempamerkan kualiti hebat dalam aksinya setelah berjaya melakukan hantaran lintang menarik buat Phillip Abbah.
Phillip bagaimanapun gagal melakukan percubaan dan bola dengan mudah berjaya ditangkap penjaga gol Ampang United.
Ampang United sekali lagi memperoleh peluang terbaik untuk mencipta jaringan hasil kesilapan pertahanan Ultimate FC, Mohd. Fazli Azrin Azizan dan terus dirampas Muhammad Azhar Mohamad Arif.
Azhar yang kemudiannya meluru pantas melepasi kawalan Fazli terus melepaskan rembatan yang berjaya ditepis keluar Zulfadhli.
Kelincahan Chijioke ternyata sukar dibendung apabila larian derasnya dari sebelah kanan pintu gol lawan gagal dihalang pertahanan Ampang United.
Ia memberikan peluang buatnya untuk terus masuk ke dalam kawasan penalti dan sekaligus menggelecek penjaga gol bagi gol kedua buat Ultimate FC pada minit ke-57.
Ketinggalan dua jaringan tidak melemahkan semangat para pemain Ampang United yang berterusan melancarkan asakan, tetapi usaha mereka sering digagalkan ketangkasan Zulfadhli di gawang Ultimate FC.
Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung, Sivakumar A/L Ramatharan mematikan api perjuangan Ampang United dengan jaringan ketiga pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan 3-0 buat Ultimate FC bagi menempah aksi separuh akhir.
Pemain terbaik perlawanan: Chukwu Nnabuke Chijioke (Ultimate FC)