Selepas mengesahkan ketibaan bekas bintang Serie A, Fernando Forestieri semalam, adakah JDT memberi petanda bakal membawa masuk seorang lagi nama besar lain ke saingan Liga Malaysia untuk saingan musim akan datang.
JDT sememangnya sinonim dengan pemain berasal dari Argentina. Selain Forestieri, antara nama lain yang pernah menyarung jersi skuad Harimau Selatan adalah seperti Pablo Aimar, Luciano Figueroa, Gonzalo Cabrera, dan ramai lagi.
Berdasarkan perkongsian terbaru pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, tunku Mahkota Johor (TMJ) di IG Story baru-baru ini, adakah ia petanda juara Liga Super Malaysia (MSL) lapan kali berturut-turut itu sedang cuba memancing bekas penyerang Argentina, Carlos Tevez?
Melaui perkongsian tersebut, TMJ kelihatan berhubung dengan Tevez melalui panggilan video bersama seorang lagi individu tidak dikenali.
Tidak dapat dipastikan sama ada panggilan video tersebut bersifat kasual atau jika ia melibatkan perbincangan untuk Tevez menyertai JDT sebelum sepak mula musim baru Liga Malaysia pada Mac hadapan.
Perkongsian oleh TMJ itu pantas mencetuskan spekulasi di kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan. Ia juga tidak mustahil kerana segalanya berkemungkinan bagi kelab seperti JDT.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Tevez dikaitkan dengan perpindahan ke JDT. Bekas penyerang Manchester City itu pernah dikaitkan dengan JDT sejak 2019 lagi.
See you soon Maestro. Todo lo mejor 🤙🏼💙❤️ pic.twitter.com/A3ZAo9VLnY
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) September 11, 2019
Pada ketika itu laman facebook rasmi pasukan itu telah memaparkan gambar Carlos Tevez dengan ucapan “See You Soon” (Jumpa anda nanti).
Tevez pernah merasai pengalaman bermain di Asia dengan pasukan Shanghai Shenghua dalam saingan Liga Super China pada tahun 2017.
Kelab terakhir yang diwakilinya ialah Boca Juniors. Pemain itu tidak lagi terikat dengan mana-mana kelab sejak meninggalkan Boca Juniors pada Jun lalu.
Tidak memberikan sebarang indikasi akan bersara sebagai pemain, Tevez kini dianggap sebagai seorang ejen bebas yang boleh didatangkan secara percuma.