Thomas Trucha ‘Zip Mulut’ Mengenai Identiti Import Baharu Penang FC

Tomas Trucha selaku pengendali pasukan Penang mengambil pendekatan untuk merahsiakan identiti pemain import Penang musim ini biarpun sebelum itu pasukan kendaliannya dikaitkan dengan pemain kelahiran Filipina, Christian Rontini dalam kalangan peminat pasukan berkenaan.

Dalam masa sama, jurulatih yang berasal dari Republik Czech itu menyerahkan segala keputusan kepada bahagian pengurusan pasukan untuk mengumumkan mengenai perkara tersebut kepada umum dalam jangka masa terdekat.

Sebelum itu, pasukan Penang juga pernah dilaporkan sedang melamar pemain kelahiran Jerman yang memiliki kerakyatan Lubnan, Hilal Bassam El Hewe. Namun sehingga kini, masih belum ada apa-apa perkhabaran daripada media rasmi pasukan mengenai kehadiran pemain tersebut.

“Sepanjang waktu ini, sejak November lalu, saya mungkin telah menyenaraikan 100 pemain, jadi saya tidak dapat katakan pemain mana yang sedang berada dalam radar kami.

“Tetapi ia sentiasa bergantung kepada sama ada pemain itu mahu menerima tawaran kami atau tidak dan sama ada kamu mahukan pemain itu atau tidak.

“Saya jurulatih dan tugas saya hanya di atas padang, jadi ia terpulang kepada pihak pengurusan untuk memaklumkannya kepada anda,” katanya kepada wartawan Nadi Arena.

Sehingga setakat ini, Penang masih mempunyai baki dua lagi pemain import untuk diisi bagi mengharungi perjalanan Liga Malaysia (Liga-M) musim baharu yang akan bermula tidak lama lagi.

Selain itu, Trucha dilihat serba tidak yakin mengenai pasukan kendaliannya apabila memberitahu Penang tidak dapat menjamin kejayaan seperti musim lalu yang mengakhiri di tangga ketiga secara keseluruhan.

Pada pendapat beliau, hampir keseluruhan pemain utama yang melonjakkan nama pasukan musim lalu kini beraksi bersama pasukan lain dan ia bakal mengambil lebih banyak masa untuk memulakan segalanya kembali pada awal persiapan kali ini.

“Ia sesuatu yang berbeza berbanding musim lalu kerana sebelum ini lebih ramai pemain daripada musim yang sebelumnya.

“Kami sedang membina sebuah pasukan baru, jadi masih terlalu awal untuk saya mengatakan akan ada perubahan daripada segi formasi atau taktikal,” katanya lagi.

Untuk tahun ini, Penang telah kehilangan beberapa tonggak musim lalu seperti David Rowley, Ryuji Otomo, Khairu Azrin, dan AL Hafiz Harun selain Quentin Cheng yang turut kembali ke pasukan Selangor.

Leave a Reply