The Guardian melaporkan Atletico Madrid telah menghantar aduan kepada FIFA tentang cubaan Barcelona mendapatkan Antoine Griezmann dengan jalan belakang ataupun ‘tap-in’.
Griezmann sudah menandatangani kontrak baru dengan Atletico musim lalu dengan durasi kontrak itu sehingga 2021. Sebelum ini, Griezmann hampir ke Manchester United tetapi memilih untuk kekal di Atletico.
Komen yang dikeluarkan oleh presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu kepada media sebelum ini membuatkan Atletico tidak berpuas hati.
Beliau dengan terang menyatakan adan mengadakan perbincangan dengan Griezmann dan kemudian memberikan gambaran perpindahan itu ada kemungkinan.
Peraturan FIFA menyatakan, kelab yang mahu membeli pemain kelab lain yang masih ada kontrak (bukan ejen bebas) haruslah menghubungi kelab pemilik terlebih dahulu.
Mereka hanya boleh berbincang dengan pemain hanya jika kelab memberikan kebenaran. Jurucakap Atletico berkata:
“Atletico Madrid telah melaporkan Barcelona kepada FIFA. Ini selepas mereka berulang kali menghubungi Griezmann dan wakil beliau. Perkara itu kami dapat tahu.”
“Dia adalah pemain yang ada kontrak masih panjang dengan Atletico.”
Kontrak semasa Griezmann juga ada klausa perlepasan bernilai €100 juta ataupun £88.4 juta. Barcelona pernah cuba membeli Griezmann pada 2014 dari Sociedad.
Pada minggu lalu juga, Pengarah Teknikal Barcelona, Roberto Fernandez turut mengesahkan yang mereka sudah mengadakan perbincangan dengan wakil Greizmann.
Tidak lama selepas itu, Guillermo Amor menceritakan perkara yang sama, menyatakan Barcelona berminat untuk mendapatkan Griezmann. Amor memberitahu:
“Jika laporan surat khabar berkata begitu, jadi ada kemungkinan ia berlaku. Mungkin sudah ada pertemuan dan lebih banyak perkembangan lain, walaupun saya tak tahu.”
Dalam perkembangan yang berkaitan, FIFA mengesahkan mereka sudah menerima surat aduan rasmi daripada Atletico.
Sebelum ini Barcelona pernah didenda oleh FIFA kerana ada salah laku dalam perpindahan pemain ketika mereka mendapatkan Arda Turan dari Atletico.