Adakah ini salah satu petanda yang Atletico Madrid tidak mahu melepaskan penjaga gol mereka itu kepada mana-mana pasukan?
Kelab La Liga, Atletico Madrid kini dalam usaha untuk menaikkan nilai klausa perpindahan kepada penjaga gol utama mereka iaitu Jan Oblak.
Menurut laman AS, juara Europa League itu mahu menaikkan nilai klausa perlepasan Oblak dari nilai €100 juta buat masa sekarang kepada €250 juta.
Tindakan yang dilakukan oleh Atletico Madrid itu dilihat wajar untuk seorang penjaga gol berkaliber seperti Oblak.
Hal ini kerana jika diikutkan dengan keadaan pasaran pemain sekarang, nilai €100 juta itu dianggap seperti nilai lazim sahaja di peringkat Eropah.
Ia juga mungkin dipengaruhi dengan tindakan Chelsea yang berjaya mengaktifkan klausa perlepasan penjaga gol Athletic Bilbao iaitu Kepa Arrizabalaga yang bernilai €80 juta.
Atletico Madrid dikatakan akan memberikan kontrak baharu kepada Oblak dengan mereka dijangka akan menawarkan nilai gaji sebanyak 2 kali ganda kepada penjaga gol itu.
Sekiranya berjaya, Atletico Madrid boleh dikatakan dengan secara halus berjaya menghalang kelab lain untuk mendapatkan khidmat Oblak.
Jika Oblak terus kekal di Atletico Madrid, Saul Niguez pastinya akan gembira dengan perkara ini.
Hal ini kerana, Saul menggangap Oblak merupakan penjaga gol terbaik di dunia.
“Beliau masih muda, tetapi setiap hari beliau menjadi semakin baik dan berterusan untuk mengejutkan saya dengan prestasi beliau.”
Adakah Oblak akan terus kekal di Atletico Madrid?