Atalanta BC, Kelab Kecil Dan Gedung Bakat Itali Sejak 1930 Yang Akan Beraksi Di UCL

Atalanta BC bukanlah pasukan yang popular di Malaysia. Di Itali sendiri pasukan ini dianggap pasukan pertengahan ataupun bawahan di dalam liga mereka. da yang melihat logo Atalanta dan menganggapnya logo minyak rambut Wellaform.

Sepanjang lebih 100 tahun sejarah kelab mereka, mereka hanya menang 1 piala sahaja iaitu Coppa Italia. Namun pada musim 2016/17 ini meningkat dengan mendadak Mereka berjaya bermain di Liga Europa untuk musim 2017/18 selepas kali terakhir beraksi di Eropah pada 1991.

Sejarah dicipta lagi apabila pada musim 2018/19 mereka menamatkan liga dalam kelompok 4 teratas dan sekaligus mara ke UCL buat pertama kali dalam sejarah kelab kecil mereka.

Mereka berterusan menujukkan peningkatan yang positif dengan ramuan yang mereka miliki.

Cabaran

Dalam dunia bola sepak yang semakin menuntut pengurusan berbelanja besar dalam semua aspek, Atalanta tiada kemampuan untuk berbelanja besar di dalam membeli pemain mahupun mendapatkan jurulatih berkelas dunia.

Atalanta telah mengambil inisiatif untuk mencari pemain-pemain muda di sekitar bandar kelab mereka dan cuba bangunkan mereka.

Sebarang potensi itu akan diberikan peluang. Mungkin pemain yang mereka masukkan ke dalam pasukan akademi tidak lepas sekalipun untuk mengisi borang di kelab lain seperti Juventus, Roma, Lazio, Inter, Milan dan Napoli.

Salah satu kelebihan menggunakan pemain tempatan adalah, pemain-pemain muda ini tidak ada masalah dengan kehidupan bandar serta memiliki keinginan yang tinggi untuk menjadi hero tempatan terutama sekali ketika mereka bermain dengan pasukan Itali kelak.

Pada masa yang sama juga, pemain-pemain tempatan ini boleh fokus kepada pelajaran dan bola sepak dengan sokongan keluarga mereka.

Sudah pasti juga mereka cuba mencari (scouting) pemain lain di luar Bergamo. Tetapi ia hanya sedikit sahaja kemampuan mereka untuk berbuat demikian.

Bergamo adalah bandar di mana kelab ini diwujudkan pada 1907. Nama asal Atalanta BC adalah FC Bergamo.

Ramai anak tempatan Bergamo yang menjadi sebahagian daripada kegemilangan bola sepak Itali. Antaranya Gaetano Scirea, Roberto Donadoni, Piero Gardoni, Franco Nodari, Alfredo Pesenti, dan Alessio Domenghini.

Nama-nama pemain ini adalah hasil daripada produk akademi belia mereka. Domeghini dianggap antara pemain terbaik dalam sejarah Itali. Pemain yang membentuk gandingan mantap dengan Luigi Riva di pasukan Azzurri pada era 1970.

Gaetani Scirea pernah dibeli Juventus pada usia 21 tahun dan menjadi antara bek tengah terbaik di Itali dengan bergandingan bersama Claudio Gentile.

Gaetano Scirea

Gentle dan Scirea adalah bek tengah yang berada di hadapan Dino Zoff dalam membantu Itali menjuarai Piala Dunia 1982.

Antonio Cabrini juga pemain daripada polisi akademi mereka yang akhirnya menyertai Itali. Dianggap salah seorang pertahanan terbaik dalam sejarah bola sepak Itali.

Pada era 1982, Itali banyak bergantung kepada produk AC Milan yang memiliki nama seperti Fabio Capello dan Carlo Ancelotti. AC Milan ketika itu dibimbing oleh Arrigo Sacchi.

Sacchi mendapatkan Roberto Donadoni untuk menyertai skuad emas Milan kerana pemain ini sangat laju. Donadoni lebih sinonim dengan label legenda AC Milan. Namun Atalanta telah menjadi tempat ‘kelahiran’ bakat ini.

Juventus sentiasa mengintai dengan dekat bakat-bakat di Atalanta. Pada era 1990-an anda pastinya pernah mendengar Alessio Tacchinardi yang menjadi nadi penting pasukan di Turin itu.

Ketika Juventus merasmikan stadium baru mereka, Juventus meletakkan 50 nama pemain terbaik dalam sejarah kelab mereka dan Tacchinardi ada di situ.

Masuk ke era 2000-an, kelab di bandar Bergamo ini melahirkan nama seperti Riccardo Montolivo. Pemain penting Antonio Conte namun terpaksa disishkan daripada Euro 2016 lalu kerana kecederaan.

Montolivo dilahirkan menerusi sistem pemain muda yang terus memberikan promosi kepada pasukan senior. Beliau kemudian menyertai Fiorentina pada 2005 dan menyertai AC Milan pada 2012.

FLORENCE, ITALY – NOVEMBER 15: Riccardo Montolivo reacts during the Italy training session at Coverciano on November 15, 2015 in Florence, Italy. (Photo by Claudio Villa/Getty Images)

Montolivo beraksi dalam semua peringkat umur di Itali. Jika tidak kerana masalah kecederaan yang kerap membelenggu, beliau mungkin akan menjadi setaraf pemain tengah yang lain di pentas dunia.

Hampir kesemua bintang muda berbakat mereka dijual ke kelab yang lebih besar. Itu salah satu daripada perniagaan kelab mereka untuk memastikan kelab ini terus beroperasi.

Pada musim lalu mereka menjual pemain-pemain mereka ke kelab lain seperti Emmanuel Latte, Filipe Melegoni, Christian Capone, Alessandro Bastoni dan Bryan Cabezas.

Semua duit ini akan disalurkan kepada program pembangunan pemain. Kini, akademi bola sepak memerlukan alatan moden yang mencecah jutaan dollar dan inilah cara mereka mendapat modal itu.

Atalanta BC tidak pernah jemu membangunkan pemain muda terutama di sekitar bandar mereka. Mereka tidak pernah meletakkan syarat khas kepada pemain berbakat untuk kepentingan kelab semata-mata.

Bagi mereka, pemain berhak memiliki cita-cita sendiri untuk bermain di kelab seperti Juventus ataupun Real Madrid, Barcelona.

Atalanta mungkin bagus untuk mereka mengasah potensi awal, tetapi mereka tidak mampun memberikan pasukan kejurulatihan yang terbaik di peringkat senior jika hendak dibandingkan dengan kelab lain.

Pasukan muda mereka ada 4 pasukan. 4 pasukan ini bertanding dalam Liga Primavera, Allievi Nazionali A dan B, dan juga Liga Giovanissimi Nazionali.

Idealis Guiseppe Ciatto

Berbalik kepada 1930, Giuseppe Ciatto adalah orang yang mencetuskan idea mewujukan akademi pemain muda ini. Awalnya ramai tidak yakin akan dapat membina akademi belia ini.

Ia pastinya melibatkan kos tambahan untuk pasukan kecil seperti mereka. Ciatto menegaskan beliau mahu membantu pemain-pemain di Bergamo mendapat peluang untuk belajar bola sepak yang betul.

Pada 1950, Luigi Tentorio telah melaburkan sebahagian wang beliau untuk memastikan akademi ini tidak terlalu jauh ke belakang berbanding dengan pasukan lain.

Beliau mendapatkan khidmat nasihat daripada rakan-rakan beliau di kelab besar seperti Juventus dan Milan tentang model akademi mereka.

Tidak rugi bertanya. Jika seorang tak nak berkongsi, yang lain pula mahu berkongsi. Jika seorang hanya mahu berkongsi 10%, seorang lagi 10% sahaja, dah 20% kita dapat.

Luigi Tentorio telah mengasingkan akademi dengan pasukan utama. Ini bermaksud, akademi belia mereka ada pentadbiran sendiri.

Akademi tidak terhad kepada banda Bergamo sahaja. Tentorio melantik Giuseppe Brolis yang menjalinkan kerjasama dengan kelab-kelab lain di sekitar bandar Veneto dan Friuli.

Mereka menyediakan pakej khas kepada pemain muda di luar Bergamo termasuk hal ehwal kebajikan pemain. Ianya mirip dengan pengurusan moden di Itali yang lain.

Meluaskan aspek ‘scouting’

Pada era ini juga, pasukan scouting mereka lebih aktif mencari bakat dengan kaedah yang lebih moden dan sistematik.

Atalanta kelab yang terbesar di Bergamo. Jadi, mereka dengan senang dapat menarik bakat bakat muda di sekitar bandar Bergamo dan berdekatan mereka untuk menyertai mereka.

Ia memerlukan Atalanta melabur sedikit wang untuk menjalinkan kerjasama dengan kelab-kelab kecil ini tetapi tidak mengapa, ia pelaburan yang berpotensi.

Selain itu, pemain-pemain muda ini juga tertarik dengan hubungan Atalanta dengan kelab-kelab besar yang lain yang membolehkan mereka menyertai kelab impian mereka suatu hari nanti.

Pelaburan ke atas jurulatih

Pada awal 1990-an, Presiden kelab mereka, Antonio Percassi (gambar) telah mengubah dasar dengan melantik jurulatih yang pakar dalam pembangunan pemain muda.

BERGAMO 05-MARZO-15 CENTRO SPORTIVO CESARE E ACHILLE BORTOLOTTI PH ALBERTO MARIANI ATALANTA 2014-15 NELLA FOTO, ANTONIO PERCASSI

Ramai jurulatih akademi dibawa masuk dengan bayaran lebih tinggi. Ia ternyata pelaburan yang berbaloi. Lebih ramai produk berkualiti dihasilkan. Atalanta terus melahirkan pemain-pemain muda berbakat.

Siapa sangka idea ini telah membantu kelab mereka ‘hidup’ lebih 100 tahun lamanya. Banyak kelab lain sudah muflis dan mereka masih berdiri di sana.

Dengan polisi pemain muda pada era moden yang ada klausa pembangunan pemain, Atalanta sudah pastinya mendapat lebih banyak manfaat daripadanya.

Pastinya pada era Gian Piero Gasperini adalah era yang paling diingati di dalam sejarah kelab mereka.

Kestabilan kewangan era moden

Pada pra-musim 2017/18, mereka berjaya menjual Franck Kessie (pinjaman dengan opsyen beli) dan Andrea Conti ke AC Milan dengan jumlah perpindahan daripada 2 pemain ini adalah sekitar €55 juta.

Ia antara kejayaan terbesar kelab ini dalam menjana pendapatan menerusi pemain muda mereka. Selain daripada nama-nama disebut di atas, anda juga pastinya kenal dengan Manolo Gabbiadini, Giacomo Bonaventura, Simone Zaza dan Daniele Baselli.

Mereka tidak akan pernah berhenti menghasilkan bakat dalam bola sepak. Dari segi perbelanjaan mereka tetap tidak berbelanja besar walaupun ada sedikit wang tambahan daripada kejayaan mereka mara ke UEL sebelum ini.

Mungkin mereka bukan pasukan yang banyak piala namun bandar mereka tetap menganggap Le Dea (gelaran Atalanta) sebagai pasukan yang telah banyak berjasa kepada bakat-bakat tempatan di Bergamo.

Mereka hidup dan ‘survive’ dalam era bola sepak moden dengan cara mereka sendiri walaupun mereka tidak memiliki pelabur yang kaya raya di dalam kelab mereka.

Jika anda tidak mampu memebeli pemain bintang, anda perlu memikirkan cara untuk menghasilkan bintang itu sendiri dan menjualnya pada harga yang betul.

Apa yang kita boleh pelajari adalah, menguruskan kelab bola sepak itu harus realistik. Jangan terlalu memikirkan soal untuk menang piala setiap musim.

Adalah lebih penting memastikan legasi dan operasi kelab itu tidak bermasalah dengan berbelanja berdasarkan apa yang ada pada kantung sendiri.

Pasukan mana yang tidak mahu mengekalkan pemain bintang. Tetapi Atalanta tidak mampu membayar gaji seperti yang ditawarkan oleh AC Milan ataupun Juventus.

Namun begitu pada akhir musim 2018/19 mereka membuktikan dengan perbelanjaan terhad mereka tetap mampu melayakkan diri ke UCL – pertandingan paling beprestij dan memberikan pulangan wang yang banyak kepada mereka.

Lihat bil gaji pemain mereka. Gaji Cristiano Ronaldo seorang sudah cukup untuk membayar gaji pemain mereka semusim. Di mana Ronaldo mendapat €30 juta setahun di Juve.

Rujukan

1.Football BH – https://footballbh.net/2017/08/17/atalanta-italian-talent-factory/

2. Wikipedia – https://en.wikipedia.org/wiki/Atalanta_B.C.

3. Wikipedia – https://en.wikipedia.org/wiki/Atalanta_B.C._in_European_football

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN