Asyraf Khairuddin: Bagaimana Son Heung-min Berikannya Peluang Ke AS

Asyraf Khairuddin

Beraksi di luar negara pastinya menjadi impian buat semua pemain bola sepak tanah air dalam usaha mencapai tahap tertinggi dalam karier mereka. Ia tidak terkecuali buat bekas pemain, Muhammad Asyraf Bin Khairuddin.

Mungkin sebahagian besar daripada anda tidak begitu mengenali siapakah gerangan pemain ini, tetapi Asyraf yang pernah beraksi bersama Felda United, Kuala Lumpur dan Selangor tersebut memiliki kisah cukup menarik sewaktu zaman remajanya apabila beliau hanya memerlukan satu tandatangan dari ibu tercinta untuk membawa nama negara di pentas Major League Soccer (MLS).

Hal ini kerana Asyraf yang pada ketika itu berusia 16 tahun telah ditawarkan kontrak bagi menyertai program remaja DC United selama tiga tahun dengan elaun mingguan bernilai $600. Peluang keemasan yang sememangnya amat dinantikan bekas pemain pertahanan tengah itu.

Program yang sama menampilkan pemain yang sebelum ini disebut-sebut bakal menggegarkan dunia dan dilabel sebagai pengganti Pele, Freddy Adu di mana Asyraf sempat berlatih bersama-sama beliau.

Bagaimana semuanya bermula?

Peluang sekali dalam seumur hidup itu menjelma selepas Asyraf beraksi cemerlang ketika mengetuai skuad bawah 15 tahun negara beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak Asean 2006 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Ketika itu, terdapat barisan pencari bakat dari Amerika Syarikat (AS) memerhatikan kelibat pemain-pemain berkualiti untuk dibawa ke negara ‘Uncle Sam’ bagi menyertai Delegasi Remaja Piala Dunia yang memberikan fokus kepada negara-negara tidak beraksi dalam Piala Dunia 2006 di Jerman.

Malaysia yang ketika itu dibimbing Yusof Ali berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dan perlu membuat perhitungan menentang Korea Selatan.

Lebih menarik pada perlawanan tersebut, Asyraf perlu merantai pergerakan pemain bintang, Son Heung-min yang ketika itu baharu sahaja berada dalam tingkatan satu.

”Rezeki buat Malaysia apabila layak ke separuh akhir tetapi selepas itu saya perlu berhadapan dengan Son. Baru tingkatan satu dia sudah menunjukkan kehebatannya dengan larian pantas serta kelincahan dipamerkannya.”

”Kami mempamerkan aksi baik pada separuh masa pertama apabila berjaya mengikat kedudukan tanpa jaringan. Tetapi, faktor fizikal dan kecergasan mereka yang lebih baik membuatkan kami tidak mampu untuk terus berikan saingan di babak kedua.”

”Walaupun kalah, rezeki masih berpihak buat saya apabila mengetahui nama saya terpilih untuk menyertai delegasi itu. Mungkin kerana saya dapat merantai pergerakan Son [ketawa],” Asyraf berkongsikan pengalamannya itu.

Mengapa tak terima tawaran DC United?

Selain daripada mengikuti klinik bola sepak yang diadakan DC United dan dapat berlatih bersama Adu, delegasi tersebut membawa pemain terpilih menjelajah Amerika Syarikat bagi mendedahkan mereka dengan budaya sukan di sana dan mereka turut dibawa menyaksikan perlawanan Piala Dunia di Jerman.

Namun, perkara utama yang pastinya akan sentiasa bermain di benak pemikiran Asyraf Khairuddin ialah beliau bersama empat lagi peserta delegasi tersebut telah diberikan peluang untuk menjalani latihan bersama skuad bawah 17 tahun Amerika Syarikat.

Ketenangan dalam mengemudi jentera pertahanan disertakan dengan sifat kepimpinan tinggi walaupun pada usia muda telah membuka mata pencari bakat dan barisan kejurulatihan skuad remaja DC United sehingga beliau ditawarkan kontrak selama tiga tahun dan Asyraf juga begitu teruja untuk menurunkan tandatangan sebagai tanda persetujuan.

Bagaimanapun, oleh kerana beliau baharu sahaja berusia 15 tahun, pihak DC United perlu meminta kebenaran terlebih dahulu daripada ibu Asyraf sebelum perjanjian itu dapat dimeterai.

Dengan usia begitu muda dan mungkin memikirkan masa depan yang lebih baik, ibunya tidak membenarkan anak kesayangannya itu untuk berhijrah ke Amerika Syarikat dan permintaan itu diturutkan dengan hati terbuka oleh Asyraf.

Dengan sekelip mata, keterujaan Asyraf untuk mengembangkan kariernya di peringkat lebih tinggi lenyap dengan begitu sahaja.

Pulang ke Malaysia tanpa rasa kecewa

Enggan terlalu kecewa dengan keputusan itu, Asyraf kemudiannya berpindah dari Victoria Institution ke Sekolah Sukan Bukit Jalil dan beliau terpilih untuk membarisi skuad bawah 17 tahun kebangsaan di bawah kendalian Razip Ismail.

Tamat persekolahan, Asyraf menyertai Felda United dan beliau pernah diberikan peluang beraksi bersama skuad senior. Selepas dua musim, beliau yang kini berusia 31 tahun memilih untuk bersama Kuala Lumpur selama semusim.

Pasukan terakhir diwakili Asyraf ialah Selangor yang mana beliau mendapat tunjuk ajar dari pemain-pemain berpengalaman seperti Khairul Anuar Baharom, Mohd Nashriq Baharum, Hardi Jaafar, Safee Sali dan ramai lagi.

Asyraf Khairuddin yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan menamatkan karier profesional seawal usia 23 tahun dan kini bergelar Pegawai Bank serta mengusahakan beberapa perniagaan miliknya sendiri.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN