Pemain tengah berkaliber, Asnan Ahmad tampil dengan begitu bersemangat kini untuk membantu pasukan baharu diwakilinya musim 2024/2025 iaitu Sri Pahang bagi memperoleh kejayaan.
Asnan menjadi antara rekrut terbaharu pasukan itu untuk saingan kali ini selepas beberapa rombakan dibuat skuad kendalian Fandi Ahmad untuk tampil lebih baik di segenap posisi.
Kelebihan dimiliki Asnan daripada segi kawalan bola di bahagian tengah dianggap bakal menjadi aset berguna buat Sri Pahang yang sedikit lemah pada posisi tersebut pada tahun lalu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Jelas Asnan, beliau tampil berazam untuk memberikan segalanya terbaik demi membantu Sri Pahang beroleh kejayaan diidamkan mereka di pentas domestik.
Pada usia 30 tahun, Asnan sudah pun beraksi bersama beberapa pasukan di saingan Liga M sebelum itu dan pengalaman diperolehinya akan digunakan sebaik mungkin untuk skuad Tok Gajah.
“Selepas dua minggu berlatih bersama rakan sepasukan, saya sentiasa memberikan yang terbaik buat pasukan terutama meyakinkan kehadiran saya ke Sri Pahang.
“Saya akan memberikan segala-galanya bersama Sri Pahang dengan kerjasama rakan sepasukan terutama dalam membentuk persefahaman.
“Sudah pasti misi utama adalah membantu Sri Pahang beroleh kejayaan dengan gabungan pemain lama dan baharu yang berpengalaman,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Musim lalu menyaksikan Asnan sudah pun beraksi sebanyak 23 perlawanan secara keseluruhan bersama Penang dengan pemain tersebut hanya mencipta satu bantuan jaringan.
Beraksi di posisi tengah bertahan, Asnan memiliki keupayaan cukup baik untuk menghentikan momentum pergerakan lawan dengan begitu cepat serta bijak mengawal tempo permainan.
Suatu perkara yang menarik tentang pemain berusia 30 tahun ini, beliau memiliki kemampuan tinggi untuk membuat hantaran-hantaran tepat kepada rakan sepasukan serta mampu mencipta persefahaman pantas bersama rakan sepasukan lain.
Kualiti dimiliki Asnan itu sebenarnya dianggap cukup penting buat Sri Pahang yang menjadi antara pasukan memiliki kelemahan ketara daripada segi penguasaan bola di tengah.
Pasukan tersebut jelas terlalu bergantung harap kepada pemain tengah Harimau Malaya, Azam Azih untuk menggerakan segalanya dan tampil tidak konsisten jika pemain tersebut tidak dapat beraksi.
Kehadiran Asnan sedikit sebanyak mampu menambah kualiti tersendiri untuk barisan pemain skuad kendalian Fandi Ahmad itu pada saingan hadapan.