Ashley Cole sah digugurkan LA Galaxy selepas kelab MLS itu enggan menawarkan sambungan kontrak setahun yang sebelum ini terkandung di dalam kontrak bekas pemain pertahanan England itu.
Cole menyertai Galaxy dari AS Roma dan telah melakukan 86 penampilan untuk kelab dari Amerika Syarikat itu sejak dua tahun lalu.
Antara bintang EPL
LA Galaxy sememangnya sebuah kelab yang sering menjadi pilihan bintang bola sepak Liga Inggeris ketika di penghujung karier.
Antara nama besar lain yang pernah beraksi bersama LA Galaxy sebelum mengakhiri karier masing-masing ialah David Beckham, Steven Gerrard, Robbie Keane dan juga Nigel De Jong.
Terbaru ialah bekas penyerang Manchester United dan Sweden, Zlatan Ibrahimovic – turut dikatakan menarik minat dari AC Milan untuk dibawa ke San Siro pada jendela perpindahan Januari hadapan.
LA Galaxy lakukan rombakan
Selepas gagal melayakkan diri ke play-off MLS musim ini, LA Galaxy jelas sekali mahu melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukan mereka.
Lapan pemain – termasuk Cole – setakat ini sah digugurkan oleh kelab yang berpangkalan di California itu. Namun Ibrahimovic adalah antara pemain bintang yang ingin Galaxy kekalkan, walaupun pemain dari Sweden itu seusia dengan Cole iaitu 37 tahun.
Sepanjang karier beliau, Cole telah menjuarai pelbagai kejuaraan di Liga Perdana Inggeris, dan juga UEFA Champions League pada 2012.
Masih ingin beraksi
Masih enggan menggantung but, Cole berkemungkinan besar akan mengalih perhatian beliau kembali ke eropah untuk menyambung karier profesional di dalam bola sepak – sebagai langkah akhir sebelum mengakhiri karier sebagai pemain di dalam bola sepak.
Walaupun mungkin sukar untuk membayangkan beliau beraksi di dalam kesebelasan utama di saingan eropah yang lebih kompetitif, Cole mungkin adalah pemain yang sesuai untuk digunakan sebagai pemain gantian, dengan tawaran kontrak jangka masa pendek oleh mana-mana kelab yang memerlukan seorang bek kiri.