Arteta Ada Formula Tentang Berapa Mata Diperlukan Untuk Bergelar Juara

Mikel Arteta ada formula tentang berapa mata yang Arsenal perlukan, untuk pastikan skuadnya bakal bergelar juara saingan Premier League musim ini.

The Gunners berpotensi untuk mendahului Liverpool dengan kelebihan lima mata andai mereka mencatatkan kemenangan bertemu Luton awal pagi esok.

Namun kedudukan itu mungkin tidak akan bertahan lama kerana Liverpool juga berpotensi mengutip tiga mata penuh bertemu Sheffield United keesokkan harinya.

Gergasi London itu pada musim ini sekali lagi menunjukkan kecemerlangan mereka dengan mereka kini antara calon kegemaran untuk menjuarai liga.

Musim lalu mereka hampir melakukan hal yang sama, namun malangnya skuad kendalian Mikel Arteta itu kerap keciciran mata di akhir-akhir musim.

Arteta musim ini bertekad mahu memastikan skuadnya berjaya membawa pulang gelaran liga pertama mereka sejak 20 tahun lalu.

Namun begitu, untuk memastikan hasratnya itu tercapai, pengurus dari Sepanyol itu telah menetapkan berapa jumlah mata yang perlu beliau kutip dalam usahanya mahu bergelar juara.

Arteta turut percaya yang skuadnya akan mampu mengutip 100 mata untuk memastikan kejuaraan akan tetap menjadi milik mereka.

Ketika ditanya adakah beliau ada menetapkan sebarang sasaran (kutipan mata) untuk musim ini, Arteta menjawab:

“Ya. 96-100 saya rasa kamu dah boleh menang liga. Itulah kiraan dia.”

Pengurus Arsenal itu kemudiannya ketawa selepas beliau diingatkan tentang sasaran 90 mata beliau pada musim lalu.

“Jadi saya sebut nombor dan kemudian kamu tak suka nombor itu? Adakah kamu mahu saya tukar nombor itu?”

Manchester City yang sebelum ini mendahului carta saingan liga kini jatuh ke kedudukan ketiga selepas mereka mencatatkan tiga keputusan seri secara berturut-turut.

Arteta turut ditanya adakah hal tersebut membantu menaikkan keyakinan beliau untuk bergelar juara musim ini dengan beliau kemudiannya menjawab:

“Adakah keyakinan saya semakin bertambah tentang itu? Tidak.”

Jelas Arteta.

“Keyakinan itu datang dari melihat skuad bermain, melihat keberanian mereka setiap hari dan bagaimana mereka dahaga serta sanggup lakukan apa sahaja ketika setiap sesi latihan.”

“Itu apa yang tambah keyakinan saya. Apa yang lain lakukan adalah satu hal yang kami tak boleh kawal.”

Selain daripada soalan-soalan tersebut, Arteta turut ditanya adakah beliau merasakan yang Declan Rice membantu Arsenal untuk lebih berpotensi menjuarai liga musim ini.

Arteta kemudiannya menjawab:

“Saya tak fikirkan tentang itu.”

“Saya cuma fikir tentang cara bagaimana kami perlu main lebih baik esok dan menjadi lebih konsisten serta lebih sukar untuk ditewaskan.”

“Juga hal-hal yang patut kami ubah dan bagaimana kita boleh gunakan pemain kita di posisi terbaik untuk menang. Ia masih marathon yang panjang perlu kira lalui.”

Walau Arteta yakin skuadnya akan mampu mengutip 100 mata dan menjuarai liga musim ini, namun ada individu yang menegaskan mereka tak akan mampu untuk bergelar juara.

Legenda Liverpool, Jamie Carragher percaya yang Arsenal tidak akan mampu untuk menjuarai saingan Premier League musim ini selepas melihat The Gunners hanya mampu mencatatkan kemenangan 1-0 sahaja bertemu Brentford sebelum ini.

Arsenal berjaya memperoleh gol kemenangan mereka pada minit-minit akhir permainan menerusi pemain midfield mereka, Kai Havertz.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu dikatakan tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka dalam perlawanan tersebut.

Bercakap kepada Monday Night Football, Carragher mendedahkan bahawa:

“Jika Arsenal teruskan cara bagaimana mereka sekarang, jika ini skuad Arsenal yang kita akan lihat musim ini, saya tak rasa mereka boleh menang liga.”

“Terlalu banyak perlawanan yang akan bagi masalah dan kadang kala perlawanan itu tidak akan memihak kepada kamu. Kamu fikir kesilapan (Aaron) Ramsdale, kesempatan emas yang Brentford ada pada aksi babak kedua.”

“Itu adalah perlawanan yang kamu dengan mudahnya boleh kalah 1-0.”

Ketika perlawanan tersebut, Arsenal sebenarnya hampir saja ketinggalan 1-0 pada aksi babak pertama selepas penjaga gol mereka Aaron Ramsdale melakukan kesilapan.

Pemain kebangsaan England itu diturunkan untuk menggantikan David Raya dan beliau dalam perlawanan itu hampir sahaja menghadiahkan gol percuma kepada pasukan lawan.

Carragher juga percaya yang beberapa bintang utama dalam skuad Arsenal seperti Bukayo Saka dan ketua pasukan, Martin Odegaard sedang tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka pada ketika ini.

“Alasan kenapa saya tak rasa mereka sedang baik-baik sahaja kerana saya rasa secara individu, pemain penyerang mereka tidak berada di tahap terbaik yang mana mereka benar-benar menakjubkan pada musim lalu.”

“Untuk pemain seperti (Gabriel) Martinelli, (Bukayo) Saka, (Gabriel) Jesus, (Martin) Odegaard sangat cemerlang musim lalu setanding dengan Kevin de Bruyne.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN