Sepanjang 22 tahun bersama Arsenal, adalah mustahil untuk Arsene Wenger tidak pernah dirisik oleh mana-mana kelab luar yang mahukan khidmatnya.
Perkara ini diakui oleh beliau sendiri apabila mengakui terpaksa untuk menolak beberapa tawaran antaranya dari kelab utama La Liga – Real Madrid.
Menurut Wenger, beliau mengaku pernah dirisik oleh Real Madrid untuk mengisi jawatan pengurus pada 2009.
“Saya pernah menolak peluang untuk menjadi pengurus Real Madrid sebanyak 2, 3 kali sebelum ini.”
“Saya mengaku pada Real Madrid adalah kelab yang saya amat minat sejak kecil. Untuk dapat satu tawaran untuk mengawal kelab sebesar mereka adalah satu tawaran yang cukup mengujakan.”
Akan tetapi, Wenger mendedahkan beliau menolak untuk menjadi pengurus kelab tersebut pada 2009 walaupun merupakan calon utama ketika itu atas faktor kewangan Arsenal.
Pada masa itu, Arsenal baru beberapa tahun berpindah dari Highbury ke Emirates dan kerana itu Wenger tidak ke mana-mana.
“Masa kami baharu berpindah ke Emirates, pihak bank meminta saya untuk kekal di kelab selama 5 tahun.”
“Tawaran pertama Real Madrid datang pada tempoh 5 tahun tersebut jadi mana mungkin saya akan terimanya, saya tidak akan belot kepada Arsenal.”
“Pada waktu itu juga, ia merupakan waktu yang cukup sensitif untuk Arsenal jadi saya memilih untuk kekal bersama mereka.”
Selain Real Madrid, kelab-kelab utama seperti Bayern Munich dan juga Barcelona turut pernah merisik beliau untuk menjadi pengurus mereka.
Selain itu juga, England juga pernah mahukan Wenger sebagai pengurus namun memilih untuk setia bersama Arsenal.
Setelah 22 tahun bersama dan kini berpisah, Wenger mengakui beliau tidak dapat membayangkan situasi di mana beliau akan berhadapan dengan Arsenal – sebagai pengurus pihak lawan.