Arsene Wenger Nasihat Jose Mourinho Supaya Belajar Pasrah Dengan Kekayaan Man City

Menjelang pertemuan Arsenal menentang Crystal Palace awal pagi esok, perhatian media tertumpu kepada nombor 810.

Ini kerana kunjungan Arsenal ke Selhurst Park esok merupakan perlawanan Premier League ke-810 bagi pengurusnya, Arsene Wenger – sekaligus menyamai rekod jumlah perlawanan Premier League yang diurus oleh bekas musuh – dan kini, kawannya – Sir Alex Ferguson.

Jika Sir Alex Ferguson masih mengurus pasukan di Premier League ketika ini, beliau pasti akan bersependapat dengan Wenger mengenai komen Jose Mourinho yang mengadu £300 juta yang dilaburkannya untuk membeli pemain masih ‘tak cukup’.

Ketika ditanya oleh media mengenai komen Mourinho semalam, Wenger hanya mengukir senyuman tipikalnya. Beliau tahu sangat apa yang dirasai oleh Mourinho dan menasihatkannya supaya ‘belajar pasrah’.

(Photo by John Peters/Man Utd via Getty Images)

Wenger pertama kali menghadapi situasi ini pada hari Roman Abramovich membeli Chelsea dengan harga £140 juta pada Jun 2003 dan memperuntukkan £100 juta lagi (kepada Claudio Ranieri ketika itu) untuk membeli pemain-pemain baru.

Timbalan Pengerusi Arsenal pada ketika itu, David Dein menggelar Abramovich seperti ‘meletakkan kereta kebal Russianya di depan rumah kami dan membuang wang-wang kertas £50 kepada kami.’

5 tahun kemudian, Abu Dhabi Group mengambil alih Manchester City pula.

“Saya sentiasa mempunyai sekurang-kurangnya satu – kadangkala empat – kelab yang lebih kaya daripada kelab saya,” kata Wenger dalam sidang media pra-perlawanan menentang Crystal Palace. “Saya takkan mula mengeluh.”

“Apa yang penting adalah anda hadapi situasi tersebut sebaik mungkin. Ya, Manchester City, Chelsea dan Manchester United lebih kaya daripada kami. Ramai orang tak mahu tahu tentan fakta ini. Mereka hanya mahu anda menang.”

Biarpun bola sepak moden tidak dapat mengelak cengkaman duit pelaburan luar, falsafah pengurusan Wenger tetap tidak pernah berubah. “Kesetiaan, dedikasi, kerja keras dan berkorban apa sahaja. Itu yang diperlukan [untuk berjaya].”

Anda boleh melihat bagaimana falsafah pengurusan Wenger ini hampir-hampir memakan dirinya.

Nilai-nilai yang diterapkan dalam falsafah pengurusan pengurus Arsenal ini bermakna beliau perlu mengekalkan identiti menyerang Arsenal dan pada masa yang sama, memberi peluang kepada pemain muda untuk bermain dan membuat kesilapan – kadang-kala hingga menjejaskan keputusan pasukan.

“Kita hidup dalam masyarakat yang lebih tahu apa yang mereka mahu, lebih banyak pendapat tetapi kurang stabil,” ujar Wenger. “Tetapi teras bola sepak masih lagi sama iaitu pemain perlu dibei peluang untuk berusaha untuk mencapai sesuatu.”

“Kualiti paling penting dalam kerja sebagai pengurus – yang jarang-jarang diperkatakan oleh orang – adalah mempercayai pemain-pemain.”

ST ALBANS, ENGLAND – MARCH 07: Arsenal manager Arsene Wenger talks to Alexis Sanchez before a training session at London Colney on March 7, 2016 in St Albans, England. (Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Mujurlah Wenger mempunyai ‘nasib’ – satu lagi nilai yang semakin terhakis dalam bola sepak moden – di Arsenal. “Jika anda cakap saya masih akan mengurus Arsenal pada 20 tahun lepas, saya pasti tidak percaya,” katanya.

“Apabila saya mengharamkan pemain makan coklat semasa tiba di Arsenal, pemain-pemain siap protes dan bersorak ‘kami mahu Mars Bars kami’. Setiap perlawanan yang saya tempuhi adalah satu perjudian nasib. Seperti Russian roulette.”

Sokongan daripada ahli lembaga pengarah merupakan ‘nasib baik’ yang dimiliki oleh Wenger. Tetapi beliau juga menekankan betapa pentingnya bagi seorang pengurus untuk tidak bersikap paranoid – sesuatu yang Wenger tujukan kepada Mourinho.

“Anda tahu kekuatan dan kelemahan pemain-pemain anda. Jika anda paranoid, anda tidak boleh memilih kerja sebagai pengurus kerana anda perlu percaya kepada pemain-pemain anda. Anda mesti percaya kekuatan diri manusia untuk mengatasi situasi sukar dalam hidup mereka.”

Alexis dan Ozil masih belum tandatangani kontrak baru

Wenger juga menekankan beliau menjangkakan Alexis Sanchez – yang diburu Manchester City – akan terus menghormati kontraknya dan bermain bersama Arsenal sehingga hujung musim ini. Sanchez sudah menyatakan dengan jelas beliau tidak akan melanjutkan kontraknya bersama Arsenal.

Mesut Ozil yang berada dalam situasi sama juga diberi jangkaan sama oleh Wenger. Perancang Arsenal ini akan menjadi ejen bebas semasa kempen Piala Dunia 2018 di Russia pada musim panas akan datang.

“Setakat ini kami belum didatangi oleh mana-mana kelab lagi [untuk membeli Alexis],” kata Wenger.

Dalam pada masa yang sama, Wenger turut memberitahu beliau akan duduk dengan Jack Wilshere untuk membincangkan kemungkinan tawaran kontrak baru. “Saya percaya jika kami dapat mencapai kata persetujuan dari segi kewangan (gaji), beliau akan kekal,” tambahnya lagi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN