Setahun telah berlalu sejak Arsene Wenger meninggalkan Arsenal. Pengurus dari Perancis itu sememangnya adalah individu penting sepanjang 22 tahun menerajui kelab London tersebut pada 1996.
Selepas meninggalkan Emirates pada tahun lalu, Wenger pernah berkata akan kembali kepada pengurusan bola sepak satu hari nanti. Tetapi sehingga kini, beliau belum lagi terikat dengan mana-mana pasukan.
Sebaliknya sepanjang tempoh 12 bulan yang lalu, Wenger yang kini berusia 69 tahun mengambil pelbagai peranan berkaitan bola sepak – daripada sebagai seorang penganalisis di TV, sehinggalah kepada panel di dalam persidangan-persidangan antarabangsa di pelbagai negara.
Cabaran baharu
Selepas setahun tidak mendapat atau telah menolak tawaran untuk mengendalikan mana-mana pasukan, terbaru, Wenger dikatakan adalah rakan niaga dan pelabur kepada sebuah syarikat teknologi sukan berpengkalan di Israel, Playmaker.
Menurut Wenger, beliau diyakinkan untuk melabur di syarikat tersebut selepas dikunjungi sendiri oleh CEO Playmaker, Guy Aharon di kediaman beliau – bersama dengan sepasukan pemain remaja dari Championship.
Pasukan remaja itu kemudiannya dibenarkan bermain bola sepak di halaman rumah milik Wenger menggunakan kasut but khas yang memiliki peranti penjejak untuk mengesan kekuataan sepakan, kepantasan larian, jumlah gerakan dan sentuhan bola pemain yang memakainya – menggunakan sejenis perisian.
Semua data-data tersebut akan terus diperolehi oleh jurulatih hanya di dalam tempoh masa beberapa minit, semudah di hujung jari.
Wenger teruja
Ketika melihat demonstrasi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain tersebut, Wenger tidak dapat menyembunyikan keterujaannya.
“Saya terus diyakinkan apabila melihat demonstrasi yang dilakukan oleh pemain-pemain ini. Mereka melakukannya di halaman rumah.
London football tech startup PlayMaker scores former Arsenal manager Arsène Wenger as an investor and operating partner https://t.co/St7cVwHQ4X
— Tech.eu (@tech_eu) May 24, 2019
Sebagai rakan niaga, Wenger akan menjadi penasihat kepada Ketua Operasi syarikat, Yuval Odem, dan Aharon, ketua bahagian teknologi, Moran Gas, dan ketua inovasi, Erez Morag, yang sudah mendapatkan pelbagai input dari Wenger mengenai teknologi yang dibangunkan itu.
Keyakinan Wenger terhadap usaha syarikat tersebut didorong oleh keyakinan bahawa Playmaker mampu menerajui teknologi sains sukan pada masa akan datang.
Pengalaman Wenger
Wenger adalah seorang jurulatih berpengalaman dan terkenal dengan inovasi penggunaan data, statistik dan teknologi sains sukan. Malah beliau boleh disifatkan sebagai jurulatih terawal dengan inovasi sedemikian.
Ketika melatih Monaco misalnya, beliau adalah jurulatih pertama yang menggunakan kaedah analisis ketika melatih pasukan Perancis itu diantara 1987 sehingga 1994.
Setelah setahun di Jepun, beliau memperkenalkan sains sukan – pengambilan nutrisi – di kalangan pemain Arsenal pada 1996.
Walaupun sudah berkecimpung di dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan selama lebih 30 tahun, Wenger tidak pernah berhenti untuk mencari inovasi baharu di dalam bidang sains dan teknologi sukan untuk diterapkan kepada pemain-pemain.
Penutup
Beberapa kelab dikatakan telah memanfaatkan teknologi ini – yang masih berada di peringkat ujian. Antaranya ialah kelab Israel, Maccabi Tel-Aviv; kelab MLS Philadelphia Union; serta kelab Inggeris, Milwall, Wimbledon dan juga Fulham.
Akan lebih banyak kelab bola sepak dari seluruh dunia dijangka akan menggunakan teknologi ini di masa hadapan.