Arsenal melonjak ke tangga ketiga saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berjaya menundukkan Newcastle United 2-0 di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Kejayaan meraih tiga mata penuh itu juga merupakan kemenangan ke-10 berturut-turut dicatatkan di laman sendiri dalam kempen liga buat skuad bimbingan Unai Emery tersebut.
Gol pendahuluan yang dinantikan The Gunners menjelma pada minit ke-30 menerusi pemain tengah dari Wales, Aaron Ramsey.
Berpunca daripada gerakan Alexandre Lacazette ke dalam kawasan penalti lalu terkena kaki pertahanan Newcastle United, Ramsey melepaskan rembatan leret kaki kiri yang terkena tiang gol dan kemudiannya berjaya membolosi gawang yang dikawal Martin Dubravka.
Penyerang pasukan pelawat, Salomon Rondon yang berjaya melepasi kawalan Sokratis Papastathopoulos menghadirkan cemas buat peminat setia Arsenal, namun rembatan rendah dilepaskannya mudah ditolak keluar oleh Bernd Leno.
Lacazette hampir menambah jaringan buat Arsenal tetapi percubaannya dalam kawasan penalti berjaya dinafikan Matt Ritchie ketika Dubravka sudah pun tertewas.
Pemain kelahiran Lyon, Perancis itu menebus kehampaan tersebut setelah berjaya menghasilkan jaringan pada minit ke-83.
Hasil tandukan oleh Pierre-Emerick Aubameyang yang mengelirukan Jamaal Lascelles, telah membuka ruang buat Lacazette untuk melakukan kuisan lambung yang sekaligus memerangkap Dubravka untuk gol kedua buat Arsenal.
Dengan kemenangan 2-0 tersebut, Arsenal kini mengumpul 63 mata bagi merampas kedudukan ketiga yang sebelum ini dipegang musuh tradisi, Tottenham Hotspur.