Polisi ini boleh dikatakan satu polisi yang baik dan perlu dicontohi oleh banyak kelab.
Arsenal ini melaksanakan polisi untuk tidak lagi membenarkan kontrak para pemain utama memasuki tahun akhir, menurut laporan Telegraph.
Hal ini kerana, pihak kelab tidak lagi mahu untuk berhadapan dengan kehilangan para pemain utama mereka secara percuma di akhir musim.
Inisiatif ini merupakan satu usaha yang dilakukan oleh Raul Sanllehi yang merupakan ketua bahagian bola sepak kelab yang baharu menggantikan Ivan Gazidis.
Hal ini kerana menurut Sanllehi, ianya tidak kena pada logik akalnya sekiranya kontrak pemain boleh dibiarkan sehingga ke tahun akhir.
“Secara umumnya saya setuju yang kontrak pemain tidak patut dibiarkan hingga ke tahun akhir sebagai polisi.”
“Semua orang pastinya akan setuju akan hal ini. Lazimnya, kontrak pemain akan diberikan selama 5 tahun. Selewat-lewatnya apabila masuk tahun ketiga kontrak, kelab mesti sudah tahu perancangan yang perlu dilakukan terhadap pemain itu.”
Tindakan ini bertepatan dengan keadaan kelab berdasarkan rekod yang lalu kerana Arsenal sering kehilangan pemain secara percuma di tahun akhir kontrak mereka.
Alexis Sanchez dan Jack Wilshere adalah contoh terkini kegagalan Arsenal mengekalkan pemain tersebut dan pergi meninggalkan kelab secara percuma di akhir kontrak.
Sementara Mesut Ozil mendapat gaji yang tinggi dalam kontrak baharu ketika di tahun akhir perjanjian yang lama.