Era baharu buat Arsenal baru sahaja bermula dengan perubahan demi perubahan sedang berjalan dalam kalangan pemain dan juga barisan staf. Selamat datang, Arsenal yang baharu!
Arsenal pasca era Arsene Wenger memang menjadi tumpuan para pemerhati bola sepak dunia dan juga penyokong Arsenal. Adakah segalanya kekal seperti sedia ada atau akan ada perubahan?
Untuk barisan pemain, mereka telah sah menandatangani beberapa pemain seperti Stephan Lichtsteiner dan Bernd Leno serta menanti beberapa lagi pengumuman rasmi.
Semalam, diumumkan menerusi laman web rasmi mereka, Arsenal.com, beberapa staf kejurulatihan turut dilepaskan dan akan digantikan dengan barisan staf pilihan Unai Emery.
Antara yang bakal meninggalkan Arsenal pada musim hadapan adalah barisan jurulatih skuad utama antaranya Neil Banfield, Tony Colbert, Jens Lehmann, Gerry Peyton dan Boro Primorac.
Ketua Perubatan, Colin Lewin, Fisioterapi, Andy Rolls dan Ben Ashworth, Pegawai Perubatan Osteopath, Dr Philippe Boixel serta Pengurus Perjalanan, Paul Johnson turut dilepaskan.
Ini satu perubahan yang sangat besar kerana ianya bukan melibatkan satu atau dua pegawai namun sejumlah staf kejurulatihan yang terlibat dalam satu-satu masa.
Bukan itu sahaja, staf yang terlibat ini ada diantaranya telah lama bersama Arsenal dan salah seorangnya telah berkhidmat di Arsenal setahun lebih awal daripada Wenger iaitu Colin Lewin.
Disamping itu, Arsenal melalui CEO, Ivan Gazidis turut memaklumkan Steve Bould, Sal Bibbo and Darren Burgess akan dikekalkan di dalam arus perubahan ini.
“Mereka semua memainkan peranan besar dalam kejayaan dan perkembangan kelab sejak bertahun. Kami berterima kasih atas kerja keras mereka dan mendoakan yang terbaik buat mereka.
“Saya juga gembira kerana Steve Bould, Sal Bibbo dan Darren Burgess akan kekal bersama kami.
“Ketika melalui proses perubahan ini, kita perlu mengekalkan kesinambungan dan mereka mempunyai peranan penting bersama kelab,” ujar Gazidis lagi.
Jens Lehmann yang juga merupakan salah seorang lagenda Arsenal telah tampil dengan kenyataan sinis mengenai penyingkirannya daripada barisan kejurulatihan.
Menurutnya, pandangan atau pendekatan daripada kumpulan 2004 tidak lagi diperlukan di sana. Kenyataan tersebut merujuk kepada alumni ‘The Invincibles Squad’.
Dear #Arsenal Fans , I am sorry to leave the club after only one year again. It was a good experience working with the players as one of the assistant-coaches. But the attitude from our 2004-group is not needed there anymore.
— Jens Lehmann (@jenslehmann) June 19, 2018
Walaubagaimanapun, sebenarnya masih terdapat seorang alumni ‘The Invincibles Squad’ di akademi Arsenal iaitu Freddie Ljungberg yang baharu sahaja dilantik minggu lalu.
Ljungberg telah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-23 dan akan bergandingan bersama Pengarah Akademi, Per Mertesacker untuk membentuk pemain masa depan The Gunners.