Jaringan penyamaan Alexandre Lacazette pada lewat perlawanan membuatkan Arsenal dan Liverpool berkongsi mata dalam perlawanan EPL tumpuan – awal pagi tadi. Arsenal dan Liverpool seri 1-1.
Liverpool hampir di hadapan pada awal separuh masa pertama namun percubaan Mane dikatakan ofsaid oleh penjaga garisan. Selepas itu, Virgil Van Dijk 2 kali melakukan percubaan yang terkena tiang gol Arsenal.
Liverpool akhirnya di hadapan menerusi gol James Milner selepas kesilapan penjaga gol oleh Bernd Leno – bola melantun pada Leno dan Milner menyumbat masuk.
Walaubagaimanapun, Arsenal sekali lagi menjaringkan gol pada babak akhir separuh masa kedua. Satu teknik gol yang sangat menarik dilakukan oleh Lacazette.
Satu hantaran yang sangat cantik daripada Iwobi menewaskan garisan pertahanan Liverpool.
Semangat juang Arsenal adalah perkara yang harus dipuji sejak mereka diambil alih oleh Unai Emery. Mereka berterusan mencari gol penyamaan dengan intensiti permainan yang sangat tinggi.
Kedua-dua pasukan ada isu dengan penyudah di hadapan gol. Mempunyai deretan peluang gol namun gagal disudahkan dengan lebih baik. Bellerin dan Torreira antara pemain yang gagal menyempurnakan terbaik mereka.
Aksi Virgil Van Dijk juga menjadi sebab kenapa Arsenal sukar untuk mendapatkan gol. Pemain ini sangat cemerlang sepanjang perlawanan. Beliau juga beberapa kali melakukan hantaran penting mencetuskan ancaman bahaya kepada Arsenal.
Jurgen Klopp menyatakan yang Liverpool bertahan dengan rapuh pada separuh masa pertama. Beliau berpuas hati dengan 1 mata dari Emirates – tetapi dalam masa yang sama berpendapat jika mereka lebih baik di hadapan gol – Liverpool ada peluang untuk menang.
Arsenal 1-1 Liverpool FT:
Shots: 12-13
Pass accuracy: 85%-78%
Chances created: 12-11
Possession: 62%-38%Lacazette’s classy finish keeps Arsenal’s unbeaten run going. pic.twitter.com/qif4SPQH9d
— Squawka (@Squawka) November 3, 2018
“Mungkin kami boleh dapat keputusan lebih baik. Satu perkara yang jelas, ianya perlawanan yang bagus – Unai Emery boleh berkata perkara yang sama. Kami ada peluang terhidang untuk gol.”
Klopp menghamburkan pujian kepada corak taktikal Unai Emery dalam usaha mereka mengejar Liverpool. Unai Emery melakukan pertukaran taktikal dan menggunakan pendekatan memenuhkan kawasan serangan (final third).
Klopp menganggap Arsenal bermain dengan bergaya sekali pada fasa tersebut. Beliau berkata: “Ketika Arsenal ketinggalan – mereka mengejar kami dengan menghantar seberapa ramai pemain yang mungkin ke dalam kawasan kami – yang saya rasa sangat hebat [cool]. Kami pula tak bertahan sekompak yang saya harapkan.”
Klopp kemudian bergurau dengan wartawan tentang sistem ultra offensive Arsenal – memasukkan semua penyerang mereka ada – sehingga beliau tertunggu Bergkamp dan Van Persie turut dimasukkan.
Liverpool boss Jurgen Klopp: Arsenal is in a very good moment. It was a pretty open game. Second half we changed formation which helped us. Arsenal played pretty much all their strikers. [Jokes] I was waiting for Van Persie and Bergkamp [to come on] pic.twitter.com/128CSZ89Wb
— Layth (@laythy29) November 3, 2018
“Kami bergantung terlalu banyak kepada pemain tengah – dan kami tidak menutup ruang Alex Iwobi yang melakukan hantaran kepada Lacazette dan itulah punca gol,” tambah beliau lagi.
Unai Emery turut berpuas hati dengan tenaga yang ada di Emirates – sama ada daripada pemain dan juga para penyokong.
“Kami mahukan kemenangan – kami beraksi baik – menyerang dan bekerja keras di dalam perlawanan. Kami bermain dengan taktik kami dengan bantuan oleh penyokong yang menambahkan lagi tenaga kami. Ini perlawanan yang bagus untuk penyokong dan para penonton – tetapi saya hanya 50% gembira – kerana saya mahukan kemenangan.”
“Pada hari ini, keseimbangan kami baik sekali untuk mengimbangi intensiti dan kelajuan kami. Kami bekerja keras sepanjang perlawanan dan 2 gol itu yang menjadi perbezaan. Saya berpendapat kami berhak untuk mendapat lebih lagi.”
Liverpool masih tak kalah dalam liga musim ini. Manakala Arsenal memanjangkan rekod tanpa kalah mereka kepada 13 perlawanan.