Arsenal mungkin ditewaskan oleh Manchester United dalam perlawanan terakhir pengendali tersebut di Old Trafford bersama The Gunners.
Namun demikian pengendali berbangsa Perancis itu boleh berbangga dengan pretasi skuad mudanya. Wenger membariskan kesebelasan utama termuda di dalam tempoh 7 tahun, menimbulkan kegusaran bahawa ianya akan menjadi perlawanan selamat tinggal yang dibayangi tragedi.
Sebelum sepak mula perlawanan, satu majlis ringkas menyaksikan bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson menyampaikan memento buat Wenger. Pemberian tersebut jelas mengingatkan kita kepada perseteruan dua pengurus bola sepak paling berjaya yang pernah mewarnai bola sepak Inggeris.
Hubungan Wenger dengan Jose Mourinho juga tidak pernah baik, namun kedua-duanya kelihatan berjabat tangan, dan saling menghargai hasil kerja satu sama lain.
Penyokong Manchester United yang hadir di Old Trafford turut tidak ketinggalan memberikan penghargaan buat Wenger dengan tepukan gemuruh dari seluruh stadium, tanda penghargaan untuk kenangan 22 tahun pengendali tersebut di bola sepak Inggeris.
Aksi di atas padang menyaksikan jaringan pemain gantian, Marouane Fellaini pada minit ke-91 perlawanan memastikan tiga mata buat skuad Mourinho.
Jaringan kemenangan tersebut turut bermakna Wenger tidak pernah mencatatkan kemenangan bersama Arsenal di Old Trafford sejak 2006.
Sebelum itu Paul Pogba meletakkan Manchester United di hadapan selepas menyambar bola dari jarak dekat, hasil suasana kelam kabut di hadapan gawang untuk United berada 1-0 di hadapan pada minit ke-16 perlawanan.
Namun bekas pemain sayap Manchester United, Henrikh Mkhitaryan menyamakan kedudukan pada minit ke-51 perlawanan dengan satu rembatan leret yang menggamamkan David de Gea di penjuru kanan gawang.
Kemenangan ini bermakna Manchester United sudah berjaya mengesahkan tempat sebagai pasukan empat teratas liga, dan memerlukan empat lagi mata dari baki tiga perlawanan untuk mengesahkan mereka menamatkan musim di tangga kedua EPL.
Bagi Arsenal, kekalahan ini bermakna harapan mereka untuk empat pasukan teratas sudah terkubur, dan UEFA Europa League (UEL) adalah laluan terbaik bagi mereka untuk ke UEFA Champions League pada musim hadapan.