Beraksi tanpa seorang pun tenaga import pastinya memberi sedikit kesukaran buat mana-mana pasukan dalam saingan Liga Super untuk memberi cabaran atau konsisten mencatat keputusan positif.
Perkara tersebut ketika ini jelas mula dirasai oleh Petaling Jaya City (PJ City) apabila kelab tersebut mula mengalami masalah dalam beberapa perlawanan terakhir mereka serta mencatat untuk berada di kedudukan berbahaya dalam carta liga.
Terbaharu, skuad ini mencatat kekalahan di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 4-0 dan pastinya menghadirkan rasa resah dalam kalangan penyokong.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS12
Melaka United FC naik satu anak tangga ke tempat kelapan Liga.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/xFEZ12wWCu
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 5, 2022
Untuk itu, mereka perlu mencatat kebangkitan kembali dalam aksi seterusnya menentang Kuala Lumpur City (KL City) agar kedudukan liga kembali dapat diperbaiki menerusi kutipan mata.
Menurut Aroon Kumar selaku pemain pertahanan PJ City, beliau melihat situasi semasa kedudukan pasukan agak mencemaskan dan mereka perlu kembali mencipta kebangkitan dengan persembahan lebih baik agar memperoleh kemenangan.
Tambah beliau, perlawanan seterusnya boleh dianggap getir apabila PJ City bakal beraksi di tempat lawan iaitu Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras serta diiringi sorakan padu penyokong lawan.
“Memang kedudukan pasukan liga ketika ini mencemaskan kerana menghampiri kepada zon penyingkiran, walaupun kami baru saja menamatkan perlawanan kesembilan dan masih ada ruang untuk memperbaiki keadaan.
“Hakikatnya kami perlu bangkit mendapatkan kemenangan pada perlawanan akan datang menentang KL City, agar tidak ketinggalan jauh dengan pencabar lain, yang akhirnya boleh memberi tekanan kepada pasukan,” katanya menerusi Arena Metro.
Dalam masa sama, Aroon tetap optimis rakan sepasukannya mampu untuk melakar sesuatu pada perlawanan akan datang setelah melihat sendiri komitmen mereka sepanjang sesi latihan dan bakal memberi sehabis baik demi menjaga maruah kelab.
Action shots against Johor Darul Ta'zim FC at Sultan Ibrahim Stadium last night.#YakiniLokal #ThePhoenix #QNET pic.twitter.com/I23kfZTJxH
— PJ City FC (@pjcityfc) June 29, 2022
Jelas bekas pertahanan Negeri Sembilan itu, untuk ketika ini mereka tidak boleh lagi kehilangan sebarang mata sekiranya masih ingin beraksi dalam saingan Liga Super pada musim hadapan.
Untuk rekod, PJ City kini berada di kedudukan ke-10 Liga Super 2022 setelah mengharungi sembilan perlawanan dengan dua kemenangan serta tiga keputusan seri diraih anak buah P. Maniam.