Arif Aiman kini dianggap sebagai ‘wonder kid’ terbaru Liga Malaysia. Nama beliau mulai menjadi sebutan peminat bola sepak tempatan setelah muncul sebagai penjaring termuda buat skuad Harimau Selatan menentang Kuching FA di saingan Piala Malaysia pada tahun lalu.
Pemain berusia 18 tahun itu tidak menoleh ke belakang lagi selepas itu apabila menjadi tunjang dan taring Harimau Selatan di saingan Liga Super Malaysia pada musim ini.
Musim ini turut menyaksikan Arif Aiman turut mencipta nama buat dirinya apabila menjadi pemain termuda JDT yang menjaringkan gol di pertandingan Liga Super Malaysia 2021.
Tampil dalam semua 12 perlawanan pada musim ini, Arif kini telah menjaringkan dua gol untuk juara Liga Super Malaysia tujuh kali berturut-turut itu.
Perjalanan karier
Arif Aiman Bin Mohd Hanafi adalah nama sebenar kepada pemain sayap JDT ini. Dilahirkan pada 4 Mei 2002, Arif sebenarnya adalah anak kelahiran Pahang.
Bakat Arif sebenarnya mulai dicungkil ketika menyertai program rancangan realiti MyKids musim 2011/12, sebelum pemain itu diserap untuk menyertai Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) untuk meneruskan pembangunan bakat secara lebih tersusun.
Malah Arif juga merupakan sebahagian daripada anggota skuad Bawah-13 NFDP yang muncul juara Piala Iber Cup Costa Del Sol di Sepanyol pada 2015 bersama-sama generasi pertama NFDP yang lain seperti Luqman Hakim (KV Kortrijk) dan Sikh Izhan Nazrel (Selangor FC) di bawah kendalian Lim Teong Kim.
Tidak seperti rakan-rakannya yang lain, Arif Aiman memilih untuk meninggalkan AMD pada penghujung 2018 untuk menyertai akademi bola sepak JDT dengan harapan mendapatkan peluang lebih banyak beraksi dengan sebuah organisasi yang bergelar kelab bola sepak profesional.
Debut mantap Arif Aiman untuk JDT
Tidak ada siapa yang berkata dan memberi jaminan bahawa Arif Aiman akan berjaya saat beliau memilih untuk menyertai JDT. Namun walaupun pada usia muda sebegitu, beliau berani menyahut cabaran tersebut.
Arif sedar JDT adalah sebuah kelab yang boleh dijadikan platform dan tempat untuk bergelar pemain profesional. Di atas semua itu, beliau juga menyedari bahawa tiada jalan pintas untuk berjaya melainkan usaha keras, dan itulah yang dibuktikan oleh anak muda ini bersama JDT sejak dua tahun lalu.
Kerana itulah Arif Aiman lebih dikenali sebagai produk akademi JDT berbanding AMD. Walaupun bakat awal beliau diasah oleh AMD, JDT turut memainkan peranan penting di dalam memastikan kesinambungan pembangunan bakat pemain ini secara berterusan sehingga mampu bertanding di peringkat profesional secara kompetitif.
Kerja keras anak muda ini di JDT tidak dipandang sebelah mata oleh barisan kejurulatihan Harimau Selatan. Akhirnya pada 14 Mac 2020, Arif Aiman mencipta sejarah tampil sebagai pemain termuda yang pernah melakukan penampilan untuk skuad Harimau Selatan itu pada usia 17 tahun.
THE YOUNGEST PLAYER IN MSL20:
ARIF AIMAN HANAPI (FWD)@ariifaiman
JDT
17 years, 10 months & 10 days
(vs Felda United)Performance in #MSL20:
2 apps (2 subs)
19 playing minutes
0 goal
0 yellow card
0 red card#OptaJ pic.twitter.com/Gt7JxjLLbH— OptaJ (@OptaJ_Analytics) November 11, 2020
Di saat pasukan memiliki barisan pemain yang hebat sehingga mampu membentuk dua skuad utama, secara tiba-tiba Benjamin Mora memperkenalkan pemain berusia 17 tahun, Arif Aiman untuk debutnya ketika terikat 1-1 menentang FELDA United.
Lima minit sahaja diperlukannya untuk terus memikat semua pemerhati bola sepak Malaysia dengan aksi bersahajanya mengucar-kacirkan benteng pelawat disamping membentuk kombinasi baik bersama Corbin Ong di bahagian sisi kiri JDT.
Pandemik Covid-19 yang melanda dunia kemudiannya sedikit sebanyak turut menjejaskan perkembangan pemain ini bersama skuad senior JDT bimbingan Benjamin Mora selepas saingan Liga Malaysia terjejas hampir keseluruhan musim – termasuk pembatalan pertandingan Piala FA dan Piala Malaysia yang gagal ditamatkan saingannya.
19' | GOL ARIF AIMAN!@OfficialJohor membuka tirai jaringan menerusi jaringan Arif Aiman. #TMPialaMalaysia2020#JDTKUC#MFLLive pic.twitter.com/VDgqJIYE6J
— MFL LIVE (@MFL_Live) November 6, 2020
Namun itu tidak bermakna Arif Aiman hanya akan duduk berdiam diri begitu sahaja. Sebaliknya anak muda ini terus mengambil setiap peluang yang diberikan, dan gol senior pertama pemain ini di peringkat senior bersama JDT hadir dalam perlawanan menentang Kuching FA di saingan Piala Malaysia.
Pada perlawanan tersebut, Arif Aiman muncul wira pasukan, apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-19 selepas menolak masuk bola tampanan Diogo Luis Santo dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Iqbal Suhimi. Jaringan tunggal Arif Aiman turut memastikan tiket ke suku akhir Piala Malaysia 2020.
Lebih menarik, ini adalah kali pertama produk Akademi JDT itu disenaraikan dalam kesebelasan utama dan beliau telah mendapat pujian daripada penyokong JDT selepas menampilkan aksi yang mengujakan.
Secara keseluruhan, kebangkitan Arif Aiman membuktikan peranan JDT II sebagai ‘feeder team’ menyiapkan pemain untuk skuad utama Harimau Selatan berada di dalam landasan yang betul.
Arif Aiman adalah revolusi
Tiada keraguan Arif Aiman telah berkembang menjadi salah seorang permata bola sepak buat JDT dan negara. Prestasi baik beliau dalam 12 perlawanan pada musim ini turut menarik perhatian Ketua Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe sehingga dipanggil menyertai latihan pusat skuad kebangsaan negara baru-baru ini.
Bagi Benjamin Mora, pemain muda tersebut bukan sekadar seorang ‘wonder kid’. Malah Arif turut dianggap sebagai revolusi.
“Beliau mempunyai skil dan bakat pada usia yang muda dan masa hadapan dan apa yang penting ialah mengetahui mengenai apa yang perlu dilakukannya di atas padang,” ulas Benjamin Mora selepas pemain itu menjaringkan gol pertamanya menentang UiTM FC pada musim ini.
[Sports] JDT coach Mora sees Arif Aiman as a 'Wonder Boy' https://t.co/dONPs4xK9E pic.twitter.com/Ak24HsTv15
— BERNAMA (@bernamadotcom) March 14, 2021
“Beliau seorang revolusi. Dia masuk dan merevolusikan kesemuanya kerana dia amat pantas dan bijak, jadi dia tahu apa yang perlu dilakukan,” kata Mora pada sidang media selepas perlawanan.
Komen jurulatih dari Mexico itu menjelaskan kemampuan Arif secara menyeluruh. Di sebalik usia mudanya, Arif menampilkan permainan yang cukup matang dan meyakinkan dalam setiap penampilan yang dilakukannya setakat ini.
JDT punya squad depth! 🤯
Belum lagi masuk Haziq Nadzli, Danial Haqim, Arif Aiman, Alif Mutalib, Umar Hakeem & Feroz Baharudin. Memang berpeluh lawan #HarimauSelatan. 😅 Siapa yang anda rasa mampu jadi pencabar utama juara bertahan liga ni? #CIMBLigaSuper2020 #KamiTeamMalaysia pic.twitter.com/H2Tucurbtt
— Team Malaysia (@TeamMsia) February 18, 2020
Mungkin ada yang melabel Arif Aiman bernasib baik kerana diberikan peluang beraksi selepas kecederaan yang menimpa pemain utama Safawi Rasid. Namun perlu diingat bahawa Arif turut masih perlu bersaing dengan pemain yang jauh lebih berpengalaman di posisi sama seperti Mohomadao Sumareh, Akhyar Rasid, dan seorang lagi pemain sedang meningkat naik, Ramadhan Saifullah.
Ketajaman Arif Aiman juga turut menyerlah ketika sentuhan penyudah klinikal yang ada pada pemain ini.
Analisis taktikal
Prestasi cemerlang Arif Aiman sepanjang empat perlawanan pertama musim ini membuatkan beliau turut dinamakan sebagai Pemain Terbaik Bulanan PFAM-ASIANA.MY.
📢 | Tahniah diucapkan kepada Arif Aiman Hanapi
dari pasukan @OfficialJohor kerana terpilih sebagai Pemain Terbaik Liga Super PFAM-@asianadotmy edisi Mac 2021!#pfamalaysia #pfam #potm #asianadotmy #opiproteindrink pic.twitter.com/dx8m6ERdpl— PFA Malaysia 🇲🇾 (@pfamalaysia) April 30, 2021
Anugerah tersebut bukan kebetulan. Ia membuktikan bagaimana JDT membina keupayaan seorang pemain muda yang dianggap ‘raw material’ kepada seorang pemain yang matang dan mampu bersaing di tahap tertinggi.
Arif Aiman adalah pemain yang unik kerana mampu menggunakan kedua-dua belah kakinya. Kaki kanan beliau adalah kaki yang lebih dominan seperti yang dibuktikan dengan dua gol hasil rembatan padu dalam perlawanan menentang UiTM FC dan Sabah FC pada musim ini.
7' Gol | Gol pertama malam ini dijaringkan oleh Arif Aiman!@SabahFCofficial 0-1 @OfficialJohor #LigaSuper2021 pic.twitter.com/siwg1bE2fg
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 6, 2021
Merupakan seorang pemain tengah di peringkat awal pembangunan, Arif Aiman kemudiannya dibangunkan sebagai seorang penyerang sayap, dan berkemampuan untuk beraksi di sebelah kanan atau kiri serangan.
69' Gol | Bergson menambah gol ketiga JDT!@SabahFCofficial 1-3 @OfficialJohor #LigaSuper2021 pic.twitter.com/Fav8Bnncww
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 6, 2021
Kemampuan ini memberikan pilihan kepada Benjamin Mora untuk menggunakan beliau di sebelah kiri atau kanan serangan. Beraksi di kiri atau kanan, sumbangan Arif Aiman tetap sama. Beliau adalah ancaman kepada pertahanan lawan kerana kemampuan menjaringkan gol atau menghasilkan assist.
Selesa dengan bola di kaki, ancaman utama dari pemain ini ialah kemahiran beliau untuk menggelecek pemain pertahanan lawan dengan kepantasan dan kebijaksanaannya.
Menurut statistik dari Mat Stats di Stadium Astro, sepanjang Mac lalu, Arif Aiman berjaya melakukan 8.18 gelecekan untuk setiap 90 minit perlawanan menjadikan beliau antara pemain lima pemain paling kerap berjaya menewaskan pemain pertahanan lawan hasil gerakan lincah pada musim ini. Statistik ini sekali lagi membuktikan keyakinan dan keupayaan Arif Aiman berhadapan pemain yang lebih berusia dan berpengalaman.
Rumusan
Kemampuan yang ditampilkan oleh Arif Aiman pada hari ini bersama JDT sedikit sebanyak menampilkan mentaliti yang dimiliki oleh pemain ini.
Tidak keterlauan jika kita katakan bahawa Arif Aiman kini merupakan pelatih terbaik generasi pertama AMD, setanding atau lebih baik dengan bekas rakan sepasukan beliau di KV Kortrijk, Luqman Hakim.
Arif membuktikan keputusan beliau menyertai JDT lebih awal pada 2018 sebagai keputusan tepat. Tatkala rakan-rakan seusia yang lain bergelut merebut tempat di dalam skuad utama masing-masing, Arif Aiman sudah berada beberapa langkah di hadapan dan kini bersedia untuk terus menyinar bersama Harimau Selatan dan pasukan negara suatu hari nanti.
Apa seterusnya untuk Arif Aiman? Penampilan di AFC Champions League dan bersama skuad kebangsaan pasti akan menjadi lembaran baharu yang dicemburui ramai pemain lain seusia beliau. Luaskan kuasa mu Arif Aiman!
Baca artikel lain mengenai Arif Aiman dan JDT melalui pautan di bawah:
Ini Komen Benjamin Mora Tentang Kemenangan, Arif Aiman & Bergson da Silva
Debut ‘Merecik’ Arif Aiman Antara 5 Perkara Minggu Ke-4 CIMB Liga Super 2020
Liga Super: Penalti Minit Akhir Sangkal Peluang Kedah Untuk Rampas Takhta JDT