Arema FC buat julung kalinya berjaya merasai kemenangan sulung mereka musim ini dalam saingan Liga 1 Indonesia selepas mengharungi 10 perlawanan dengan menjadikan Persikabo 1973 sebagai mangsa.
Arema boleh dianggap berada pada keadaan paling suram musim ini selepas gagal untuk mencatat sebarang kemenangan bersama aksi tidak konsisten dipamerkan mereka dalam setiap aksi diharungi.
Aksi tim Singo Edan saat meraih kemenangan penting atas Persikabo 1973 kemarin, hasil ini menjadi modal berharga melangkah kedepan! 🦁✊🔥#BismillahBangkit #aremafc #aremania #salamsatujiwa#BriLiga1 pic.twitter.com/W3KrSLrthN
— Arema FC (@AremafcOfficial) August 29, 2023
Selepas mengalami peristiwa gelap iaitu Tragedi Kanjuruhan musim lalu, mereka jelas masih gagal untuk mencipta kebangkitan dan memberi isyarat mengecewakan buat para penyokong.
Walaupun begitu, satu kemenangan yang dilakar mereka kini pastinya menaikkan kembali semangat pasukan tersebut untuk terus melakar kebangkitan pada aksi seterusnya pada saingan akan datang.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Arema memperoleh jaringan tunggal mereka menerusi ledakan Dedik Setiawan pada minit ke-30 dan berjaya dipertahankan sehingga ke wisel penamat permainan.
Sepanjang saingan tersebut berlangsung, Arema sebenarnya memiliki banyak peluang untuk menambah jaringan mereka bagi mengatasi lawan, namun isu ketumpulan di bahagian penyudah jelas sedikit mengecewakan.
Malah, jika tidak disebabkan bekas penjaga gol Kuching City iaitu Julian Schwarzer yang begitu tangkas di hadapan gol, mungkin Arema akan terus kempunan untuk mendapatkan tiga mata sulung mereka.
Hasil kemenangan itu menyaksikan Arema kini tidak lagi berada di tangga terbawah liga untuk memintas Bhayangkara FC menerusi enam mata dipungut daripada 10 perlawanan diharungi mereka.
Lebih manis, ianya juga merupakan penampilan sulung yang sangat cemerlang buat pengendali baharu mereka iaitu Fernando Valente selepas beliau menjadi jurulatih baharu buat pasukan tersebut.
“Apa yang saya boleh katakan, ianya sangat sukar untuk diri saya menghadapi aksi sulung dalam saingan Liga 1 Indonesia ini.
“Apapun, ucapan tahniah wajar diberikan kepada semua pemain, para penyokong setia, serta pihak pengurusan pasukan, anda semua layak meraikan kemenangan sulung ini.
“Malah, situasi yang saya lalui ketika ini sangat menarik. Apatah lagi ianya merupakan penampilan sulung saya dan menjadi detik penting buat diri ini.
“Kini pasukan saya berjaya meraih kemenangan, maka ianya akan lebih memudahkan diri ini untuk menerapkan lebih banyak taktikal buat para pemain,” kata pengendali tersebut menerusi TribunJatim.com.
Kehadiran pengendali tersebut dianggap mampu untuk menguba kembali struktur permainan Arema menjadi lebih baik menerusi pengalaman luas dimiliki Valente sebelum itu di Eropah.