Menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-26, penyerang import Kuala Lumpur (KL) City, Jordan Mintah menerusi ‘story‘ di akaun Instagram miliknya telah memuat naik ucapan berbentuk nasihat.
Namun apa yang menarik perhatian adalah bagaimana pemain kelahiran Ghana itu menggunakan beberapa perkataan yang berunsurkan ‘islamik’ meskipun beliau merupakan penganut agama Kristian.
Dalam ucapan tersebut, Jordan Mintah menekankan tentang nilai kemanusiaan yang sepatutnya menjadi ‘pelengkap’ kepada ibadah dan tidak sepatutnya diketepikan dalam kehidupan.
“Sebab utama kenapa nilai kemanusiaan adalah yang terbaik dalam semua ibadah adalah kamu akan jumpa ‘Lailaha illallah‘ di dalamnya,” ujarnya.
“Sadakat [bersedekah], saling membantu, memaafkan dan memohon maaf antara satu sama lain, saling menyayangi, riba, alkohol [arak], zina [hubungan seks haram], semua yang saya sebutkan ini adalah perkara baik dan buruk yang manusia biasa lakukan.
“Tetapi tindakan [kemanusiaan] ini adalah ibadah paling penting, namun sukar untuk dilaksanakan kerana kita tidak pernah mengambil serius tentangnya.
“Wallahi [Demi Allah] kegagalan dalam perkara ini akan mendorong jalan ke neraka, tidak kira betapa kuat kamu bersembahyang [solat], berapa kali kamu mengerjakan haji, puasa dan zakat yang kamu tunaikan.
“Semua ini solat, haji, puasa dan zakat ini sebagai tanda ingatan kita kepada tuhan tetapi ia memerlukan keimanan untuk memiliki sifat kemanusiaan.”
Peringatan ini mestilah difahami dengan sebaiknya. Beliau tidak sama sekali memberi maksud ibadah-ibadah wajib bagi umat Islam itu tidak penting, sebaliknya beliau tidak mahu nilai kemanusiaan itu dikesampingkan.
Islam telah mengajar kita bahawa ibadah seorang Muslim itu tidak akan lengkap tanpa keseimbangan di antara hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas).
Malah akan menjadi sia-sia amal seseorang yang mengerjakan ibadah siang dan malam, tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, tidak menjaga kebajikan keluarga dan masyarakat, mengadu domba, menzalimi hidupan, merosakkan alam sekitar, mengambil hak orang lain dan sebagainya.
Jordan Mintah semenangnya diketahui sebagai seorang pemain yang mesra dan amat mementingkan kebajikan berdasarkan perkongsian beliau serta pengikutnya di media sosial.
Pemain yang dipinjamkan dari Terengganu FC ini terlibat aktif dalam membantu golongan memerlukan sama ada di negara ini mahupun kampung halamannya di Kumasi, Ghana.
Beliau juga telah beberapa kali dilihat membuat kunjungan ke masjid, pusat pengajian tahfiz dan pusat jagaan anak-anak yatim ketika beraksi di Terengganu.
Dalam satu ucapannya di Maahad Tahfiz Kubang Bujuk, Jordan Mintah mengakui beliau bukanlah seorang yang beragama Islam, tetapi telah mengenali agama ini atas faktor persekirannya semasa kanak-kanak.
“Saya bukanlah seorang Muslim, tetapi semua kawan-kawan saya semasa membesar adalah beragama Islam, sebab itu saya sukakan Islam. Kemugkinan insyaAllah, saya akan sertainya.
“Jadi tolong saya mahu awak semua, ikut perintah Allah dan simpannya di dalam hati, kerana Allah maha berkuasa.
“Awak lihat saya, saya tidak ada apa-apa tanpa Allah. Ingat, apa yang kita pakai, apabila kita mati, kita tak akan membawanya bersama. Tapi kita ada Allah bersama kita. Jika kita ikut perintah Allah, kita akan diberi kesenangan.”