Sabah secara rasminya kini telah pun menandatangani kembali khidmat bekas penyerang mereka iaitu Rozaimi Abdul Rahman, selepas beliau kali terakhir mewakili Kedah Darul Aman (Kedah) pada musim 2021.
Rozaimi yang pernah mencipta sensasi tersendiri pada awal karier beliau dulu untuk skuad kebangsaan dianggap sebagai antara penyerang tempatan terbaik pernah dilahirkan Malaysia.
Walaupun begitu, puncak kecemerlangan beliau tidak bertahan lama, selepas Rozaimi gagal untuk mengekalkan momentum positif beliau selepas pulih daripada kecederaan akibat kemalangan.
Malah, Rozaimi juga tidak mampu mengulangi siri prestasi beliau yang positif ketika beraksi bersama Kedah, sebelum pemain tersebut kini tidak lagi lagi beraksi selama beberapa musim sehingga kini dipanggil semula oleh Sabah.
Menurut laporan dikeluarkan oleh Sabah, Rozaimi yang diikat oleh mereka bakal berlatih serta beraksi untuk skuad Piala MFL pasukan tersebut sahaja.
Jika dilihat pada prestasi semasa Rozaimi, pemain tersebut mungkin sukar untuk memberi impak besar dalam permainan buat Sabah musim hadapan.
Pengalaman berharga Rozaimi
Namun, penyerang itu memiliki pengalaman cukup berharga yang pernah dilalui beliau pada awal kariernya dahulu untuk membimbing para pemain muda Sabah.
Seperti diketahui, Sabah bawah 23 (B-23) bakal diwakili kebanyakan pemain muda tempatan mereka dan ini menjadi satu ruang terbaik buat Rozaimi untuk memberi panduan terbaik di atas padang selain menjadi rakan sepasukan.
Pengalaman Rozaimi yang pernah beraksi sehingga di saingan antarabangsa lalu pastinya ditagih untuk mencurahkan segala dimiliki beliau bagi mrmbentuk terutama barisan serangan baharu Sabah B-23 menjadi lebih baik.
Kesan bakat berpotensi buat pasukan utama
Pada tahun 2022, Rozaimi pernah dilantik Sabah sebenarnya selaku Penolong Ketua Panel Pemilih & Pencari Bakat Sabah untuk skuad bawah 21 (B-21).
Walaupun kali ini bertindak selaku pemain kelab tersebut dalam saingan Piala MFL, ianya dianggap sangat bagus buat Sabah untuk mendapat nasihat Rozaimi daripada segi kualiti pemain muda menyakinkan untuk diserap masuk pasukan utama.
Malah, ia mampu memberi ruang pemilihan lebih besar buat Datuk Ong Kim Swee untuk menilai bakat-bakat baharu Sabah yang bersesuaian untuk diperkenalkan bersama skuad senior pada masa hadapan.
Perkukuh ‘squad depth’ Sabah musim 2024/2025
Seperti yang diketahui, musim hadapan dianggap jauh lebih mencabar dengan persaingan sengit bakal diberikan oleh semua pasukan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) menerusi beberapa format baharu diletakkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Rozaimi berkemungkinan mampu untuk mencipta penampilan semula buat pasukan utama Sabah jika pasukan itu kekurangan pemain akibat layangan kad atau kecederaan di posisi serangan.
Walaupun mungkin tidak banyak disumbangkan oleh Rozaimi, setidaknya pengalaman dimiliki beliau mungkin dapat membantu Sabah terutama untuk berdepan lawan-lawan lebih mudah serta merehatkan seketika barisan utama.