“Apabila Dikritik, Saya Perlu Kerja Lebih Keras” – De Paula Sedar Sentiasa Jadi Sasaran Kritikan

Nama Guilherme de Paula kembali menjadi bualan hangat semalam dalam kalangan para penyokong apabila penyerang sensasi tersebut berjaya mempamerkan aksi lebih baik berbanding sebelum ini selain meledak gol pertamanya pada tahun ini bersama era kejurulatihan Kim Pan-gon.

Penyerang naturalisasi dari Brazil itu antara yang berjaya meledak gol serta mencipta satu assist ketika Malaysia membenam cabaran Brunei dengan keputusan 4-0 dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam.

Jika sebelum ini nama beliau terkenal dalam kalangan penyokong dek kerana aksinya yang longlai dan dianggap tidak berbaloi, kini de Paula kembali membuktikan mengapa diri beliau perlu ada dalam skuad kebangsaan selaku salah seorang penyerang utama.

Semalam, de Paula mempamerkan karakter yang sangat matang dan tenang untuk menyempurnakan penalti selain tidak bersorak secara berlebihan sekali gus menutup seketika mulut-mulut pengkritik beliau.

Aksi beliau setiap kali mendapat bola di kaki juga nyata mendapat sambutan meriah dalam kalangan penyokong yang tidak putus-putus untuk meningkatkan kembali motivasi beliau dan boleh dikatakan de Paula bermain dengan lebih baik berbanding ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 musim lalu.

Menurut de Paula menerusi Bernama, beliau menyedari hakikat dirinya sentiasa menjadi tumpuan pengkritik bola sepak tempatan.

Justeru, beliau enggan tunduk pada tekanan tersebut dan sebaliknya terus fokus dalam latihan kerana dirinya tahu apa yang boleh diberikan kepada skuad kebangsaan.

“Ada ketika prestasi anda baik, dan ada ketika buruk. Anda perlu tahu bahawa perkara ini (kritik) sentiasa ada dalam bola sepak. Apabila dikritik, saya hanya terus berlatih dan bekerja lebih keras,” katanya menerusi Bernama.

Dalam masa sama, de Paula juga percaya dengan kemenangan besar semalam mampu untuk terus melonjakkan motivasi para pemain agar beraksi dengan lebih baik pada perlawanan seterusnya.

Untuk jadual seterusnya, Malaysia bakal menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Hong Kong pada 1 Jun ini yang dilihat sebagai satu pasukan lebih baik untuk menguji kekuatan penuh skuad kendalian Pan-gon.

Selepas itu, mereka bakal menghadapi cabaran sebenar iaitu aksi Kelayakan Piala Asia 2023 pada 8 Jun untuk bertemu Turkmenistan, Bahrain, dan Bangladesh dalam peringkat Kumpulan E.

Sumber:
BERNAMA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN