Jika anda mengikuti akaun media sosial Henrikh Mkhitryan, anda akan menyedari kebelakangan ini beliau sedang berkempen supaya ‘komuniti antarabangsa masuk campur untuk menghentikan tindakan ketenteraan yang bercanggah dengan keamanan dan sekuriti serantau’.
Anda pastinya tertanya: apa yang tengah berlaku? Apa konteks tweet pemain AS Roma ini?
Artikel ini adalah cubaan kami untuk memberi pencerahan mengenai konflik yang sedang berlaku di Armenia – negara Mkhitaryan – ketika ini.
Apa yang sedang berlaku?
Pada awal pagi Ahad (27 September 2020) lepas, Armenia mengumumkan darurat, menggerakkan pasukan tentera dan mengarahkan orang awam mencari tempat perlindungan. Ia selepas jiran mereka, Azerbaijan melancarkan operasi ketenteraan di sebuah wilayah yang dipanggil Nagorno-Karabakh.
Azerbaijan mendakwa mereka hanya mula menyerang selepas diserang oleh Armenia.
Di mata komuniti antarabangsa, Nagorno-Karabakh diletakkan dibawah kuasa Azerbaijan. Tetapi wilayah itu dihuni oleh sebahagian besar populasi orang Armenia yang menentang pemerintahan kerajaan Azerbaijan lebih satu abad.
Pada tahun 1991, Nagorno-Karabakh mengumumkan kemerdekaannya sendiri dan mentadbir wilayah mereka sendiri – dengan sokongan kerajaan Armenia – sebagai sebuah negara yang bernama ‘Republik Artsakh’.
Tiada apa-apa konflik berlaku di Nagorno-Karabakh sejak dua tahun lepas. Tetapi sejak Ahad lepas, rentetan hari tanpa konflik itu putus selepas tentera Nagorno-Karabakh dan Armenia bergabung tenaga untuk berperang dengan tentera Azerbaijan.
Sekurang-kurangnya 100 orang, termasuk orang awam, telah terkorban. Beratus-ratus lagi cedera.
Azerbaijan mendakwa mereka telah menjajah semula kawasan dalam wilayah Nagorno-Karabakh. Tetapi Armenia menafikan dakwaan tersebut.
Apa asal-usul konflik ini?
Nagorno-Karabakh merupakan sebuah wilayah berbukit-bukau, tidak mempunyai laut dan terletak di sempadan Azerbaijan. Semasa Armenia dan Azerbaijan berada dalam Soviet Union, konflik ini ‘disorok bawah permaidani’. Maka tak hairanlah konflik mula timbul semula selepas Soviet Union dibubarkan dan Perang Dingin tamat.
Perang antara Armenia dan Azerbaijan ini bagaimanapun dihentikan dalam satu perjanjian gencatan senjata pada tahun 1994. Dalam perjanjian tersebut, Armenia diberi kuasa penuh terhadap Nagorno-Karabakh dan beberapa wilayah sekitarnya.
Sempadan wilayah itu dengan Azerbaijan dianggap salah satu sempadan paling banyak mempunyai kehadiran tentera, setanding dengan DMZ di sempadan Korea Utara-Korea Selatan.
Azerbaijan merupakan negara majoriti Muslim manakala Armenia pula majoriti Kristian Ortodoks. Ramai orang menyangka konflik ini ada kaitan dengan agama. Tetapi ia agak kurang tepat memandangkan Azerbaijan mempunyai hubungan ketenteraan yang rapat dengan Israel.
Kenapa berperang sekarang?
Revolusi Armenia pada 2018 melahirkan generasi kepimpinan muda dan baru yang mengharapkan konflik Nagorno-Karabakh dapat diselesaikan selama-lamanya. Tetapi harapan ini umpama mencurah air ke daun keladi kerana Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan, bertegas dan sangat provokatif kepada pemimpin Azerbaijan dalam isu ini.
Dengan pandemik COVID-19 menyebabkan harga minyak dan gas Azerbaijan jatuh, pemimpin Azerbaijan pula pendirian tegas dalam isu konflik ini boleh menaikkan semula sokongan rakyat yang kian jatuh akibat kemelesetan ekonomi.
Azerbaijan berkata konflik ini hanya bermula selepas ia dimulakan sendiri oleh tentera Armenia di Nagorno-Karabakh – wilayah milik Azerbaijan tetapi bertukar milik sejak gencatan senjata 1994.
Kenapa konflik ini penting?
Selain isu kemanusiaan di mana orang awam akan menjadi korban, konflik ini menjadi signifikan di mata antarabangsa susulan penglibatan beberapa negara luar.
Turki telah pun mengumumkan sokongan kuatnya kepada Azerbaijan. Russia pula sejak dahulu lagi menyokong Armenia, tetapi hubungan rapat mereka dengan pemimpin elit Azerbaijan semakin baik. Russia dan Azerbaijan pernah beberapa kali bekerjasama dalam konflik Syria dan Libya.
Armenia pula mendakwa Turki telah menghantar pejuang militan Syria untuk menjadi tentera Azerbaijan. Bagaimanapun Azerbaijan memanggil dakwaan ini sebagai ‘mengarut’.
Setakat ini tiada bukti kukuh lagi yang boleh menyokong dakwaan Armenia bahawa ada orang Syria di Nagorno-Karabakh. Tetapi The Guardian pernah melaporkan beberapa militan Syria di Idlib telah didatangi oleh sebuah syarikat sekuriti Turki untuk bekerja di Azerbaijan.
Konflik di rantau ini turut mempunyai kepentingan ekonomi. Kawalan di rantau ini bererti bekalan minyak Turki dan Eropah dari Azerbaijan tidak akan terganggu. Azerbaijan dilaporkan membekal kira-kira 5% keperluan Eropah. Ini penting untuk mengurangkan kebergantungan EU kepada minyak dan gas Russia.
Dalam konteks bola sepak pula, konflik ini telah pun menyebab satu urusan perpindahan pemain tergendala.
Baru-baru ini kapten pasukan kebangsaan Armenia, Varazdat Haroyan dijadualkan akan berhijrah ke kelab Greek Super League, AEL.
Bagaimanapun perpindahan ini terpaksa dibatalkan selepas ejen Haroyan memberitahu AEL bahawa kliennya telah dipanggil masuk tentera untuk berperang menentang Turki dan Azerbaijan.