‘Apa yang kau buat’ adalah laungan penyokong kepada bekas pengendali skuad kebangsaan yang menjulang kejuaraan Piala AFF 2010, Datuk K. Rajagobal pada edisi 2012. Jadi, mari kita lihat versi edisi 2020 kali ini.
Jelas kekalahan kepada musuh ketat, Indonesia sukar untuk dihadam penyokong dan tentunya para pemain apabila tewas besar 1-4 dalam aksi terakhir Kumpulan B, Piala AFF Suzuki 2020 seterusnya dihantar pulang.
Malaysia gagal mara ke separuh akhir selepas muncul naib juara kejohanan dwi tahunan itu pada edisi yang lalu. Lebih perit, Harimau Malaya diaibkan dengan kekalahan besar selepas kali terakhir ia berlaku pada edisi 2010 – Malaysia tewas 1-5. Malaysia bangkit untuk muncul juara buat julung kalinya di hujung kejohanan itu.
Berikut ini beberapa rangkuman pertemuan Timnas Indonesia vs Malaysia di Piala AFF yang sangat diingat oleh publik sepak bola #TimnasIndonesiavsMalaysia https://t.co/Pg1XlEUA4Q
— JPNN.com (@jpnncom) December 19, 2021
Itu merupakan kali terakhir Malaysia dibolosi lebih tiga gol oleh Indonesia. Dan kali ini, ia berlaku semula walaupun dalam dua pertembungan terakhir Malaysia unggul dengan dua kemenangan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada hujung tahun 2019. Malaysia menang 2-0 dan 3-2.
Apa yang kau buat – pemain?
Kesimpulan pasca perlawanan di Astro Arena adalah, ‘tiada jiwa’. Hos rancangan, Hafizal Hamad dan panel, Shukor Adan menyatakan yang aksi perlawanan ini seakan-akan menunjukkan pemain tiada jiwa untuk menang.
Selepas mendahului aksi menerusi rembatan deras jarak jauh pemain tengah, R. Kogileswaran pada minit ke-13, Malaysia seakan-akan hilang arah. Malah, ia bertambah buruk selepas Syafiq Ahmad gagal menterjemahkan peluangnya pada minit ke-35 apabila percubaan lambungnya yang mengatasi penjaga gol sedikit tersasar.
Gol pertama Malaysia daripada Kogileswaran!#PialaAFFSuzuki2020 pic.twitter.com/lZ1FKDmuJk
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) December 19, 2021
Berbanding Garuda yang hanya perlukan keputusan seri untuk layak, lawan mereka itu dilihat lebih bernafsu memburu jaringan. 15 percubaan dicipta mereka dengan tujuh daripadanya tepat dan untuk Malaysia, hanya enam percubaan dengan tiga tepat ke sasaran. Siapa yang seperti perlukan kemenangan sebenarnya?
Apa yang kau buat – Tan Cheng Hoe?
Jelas, Malaysia sejak awal pincang dan tempang apabila pengendali, Tan Cheng Hoe ambil keputusan untuk tidak menggantikan pemain tengah bertahan, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj yang tercedera sebelum menyertai kem skuad negara. Beliau berkata, ada beberapa calon lain boleh disandarkan di posisi tersebut.
Namun, apa yang berlaku? Malaysia bergelut di zon 14 yang seharusnya dilindungi pemain tengah bertahan. Selain longgar di posisi tersebut, kecenderungannya meletak Syahmi Safari di bek kiri juga mengelirukan.
Sebagai pemain utiliti, kita tahu Syahmi Safari boleh diharapkan, namun mengapa kita bawa dua bek kiri ‘natural’ jika ini perancangannya? Dan kebocoran yang berlaku dalam aksi berdepan Indonesia adalah di posisi itu.
Dan salah satu yang mengelirukan penyokong apabila pemain pertahanan, Dion Cools diletak sebagai pemain penyerang selepas Safawi Rasid mengalami kecederaan. Sedangkan di bangku simpanan kita ada beberapa pemain yang mungkin mampu mencipta sesuatu seperti Akhyar Rashid, Luqman Hakim atau Quentin Cheng.
Apa yang kau buat – MFL?
Persoalan terbesar adalah penjadualan Liga Domestik yang mengganggu persediaan skuad kebangsaan. Piala Malaysia berakhir pada 30 November dan pemain yang beraksi sehingga ke pentas akhir akan melapor diri ke kem skuad kebangsaan pada esoknya. Mengapa terjadi sebegini? Semua tahu Piala AFF berlangsung tahun ini.
Siapa yang menyusun jadual liga domestik di Malaysia? Sudah tentunya, Malaysian Football League (MFL).
Liga kita berehat panjang sekitar Jun untuk memberi ruang aksi skuad kebangsaan. Dan liga kembali bersambung pada Ogos, satu ruang kosong yang panjang sedangkan skuad kebangsaan hanya terlibat pusingan kelayakan sehingga pertengahan Jun sahaja. Mengapa MFL memberi rehat yang panjang?
Selain itu, disebabkan Piala Malaysia hanya berakhir pada hujung November dan aksi pertama Piala AFF untuk Malaysia adalah pada 6 Disember, apa yang mampu Cheng Hoe lakukan? Tiada aksi persahabatan mampu dicaturnya untuk melihat kesesuaian pemain dan percaturannya untuk ke saingan tertinggi di Asia Tenggara itu?
Bekas pemain, Shukor Adan pernah berkata, paling kurang kem skuad kebangsaan perlu diadakan dua minggu.
Apa yang kau buat – FAM?
Siapa yang membuat keputusan membawa 24 pemain ke Singapura? Adakah ia keputusan ketua jurulatih? Namun, melihatkan ‘rayuan’ yang dilontarkannya ketika kekurangan pemain, jelas ada sesuatu tidak kena.
Sedang pihak penganjur membenarkan 30 pemain untuk dibawa, hanya Malaysia yang membawa 24 pemain.
Bodoh sombong atau apa sebenarnya yang berada difikiran ‘pembuat keputusan’? Jika benar, Cheng Hoe yang buat keputusan, mengapa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menegur dan membetulkan keadaan dengan membawa pemain yang cukup? Atau jika ia keputusan FAM, mengapa Cheng Hoe tidak cuba bersuara?
Selain itu, Program Naturalisasi jelas gagal memberi impak sepatutnya kecuali Mohamadou Sumareh ketika di awal kemunculannya. Dua pemain selepas itu, kita tidak tahu apa sumbangan yang telah mereka berikan.
Apa yang kau buat – JDT?
Sejak pemilihan pemain diumumkan, satu perkara menjadi tumpuan, di mana pemain-pemain utama juara Liga Super lapan kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) dikatakan tidak ‘dibenarkan’ dibawa. Tidak pasti sejauh mana khabar angin itu benar. Namun, masih ada sebilangan besar pemain JDT berada di kem Harimau Malaya kali ini.
https://twitter.com/iamitinerant/status/1466558680455729153
Adakah salah JDT? Dengan kita tidak tahu, benarkah JDT yang tidak melepaskan, agak serkap jarang kita menyalahkan JDT. Penjaga gol, Farizal Marlias ada menyatakan kecewanya tidak dipanggil ke skuad negara.
Adakah JDT ganggu persediaan skuad kebangsaan? Selagi tiada bukti mereka ‘halang’ pemain ke kem negara, tidak adil untuk kita salahkan mereka semata-mata. Cuma satu perkara yang JDT buat adalah terlalu bernafsu ‘memborong’ pemain terbaik di Malaysia sehingga pemain berpotensi perlahan-lahan tenggelam aksinya.
Di mana penyerang berpotensi menggantikan Safee Sali, Hazwan Bakri saat ini? Di mana Fadhli Shas, Adam Nor Azlin, Syazwan Andik dan ramai lagi. Mungkin JDT sudah boleh memperlahankan borong pemain terbaik di Liga M dan menaikkan pemain-pemain muda yang dilahirkan oleh akademi mereka selepas ini? Tak salah mencuba.