Keputusan Leeds United Beli Daniel James Dianggap Satu Tindakan Paling Merugikan

Keputusan Leeds United membeli Daniel James dianggap satu hal yang paling merugikan dan hal itu telah menyebabkan mereka dikritik hebat oleh bekas bintang Premier League.

Kevin Phillips telah menghentam keputusan Leeds United yang sanggup mengeluarkan dana bernilai £25 juta untuk mendapatkan Daniel James dari Manchester United.

Daniel James merupakan pemain yang sudah lama berada dalam radar Leeds United namun beliau lebih memilih untuk sertai Manchester United, sebelum akhirnya bersetuju juga untuk sertai Leeds United pada musim panas baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, pemain kebangsaan Wales itu sepertinya gagal untuk memberikan impak seperti yang diharapkan oleh pihak kelab.

James kerap dimainkan di posisi center oleh Marcelo Bielsa dek kerana Patrick Bamford sedang terpaksa diketepikan atas masalah kecederaan.

Posisi itulah sebenarnya yang menjadi penyebab utama mengapa Daniel James bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaiknya bersama Leeds United.

Beliau hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja dan turut mencatatkan dua assists dari 18 penampilan bersama Leeds dalam semua pertandingan sepanjang musim ini.

Kevin Phillips kini tampil menghentam keputusan Leeds United untuk menandatangani James dari Manchester United, dengan beliau mendedahkan kepada Football Insider bahawa:

“Saya fikir akan ada bencana sekiranya mereka tidak menandatangani penjaring gol yang berkemampuan, dan ia benar-benar berlaku.”

“Dia mainkan Dan James di tengah, tapi dia tak pernah hayat bermain sebagai seorang penyerang.”

Bekas pemenang kasut emas Eropah itu kemudiannya turut menyatakan bahawa:

“Saya sudah katakan hal itu panjang lebar. Saya tak rasa itu adalah kawasan yang perlukan kekuatan tambahan. Kamu ada Jack Harrison dan Raphinha, dua pemain yang berkualiti, begitu juga dengan pemain-pemain lain yang boleh mengisi kekosongan yang ada.”

Phillips percaya yang bekas pemain sayap Manchester United itu hanya sekadar menambah beban ke atas Leeds United yang sudah sememangnya terbeban pada ketika ini kerana dibelenggu masalah kecederaan pemain.

Bintang Wales itu turut ditimpa kecederaan kecil ketika aksi kekalahan memalukan 7-0 bertemu Manchester City minggu lalu, dan turut diketepikan dari aksi ketika kekalahan 4-1 bertemu Arsenal kemarin.

Isu kecederaan Leeds United semakin terbeban dengan jadual yang padat

Leeds United hanya mampu mencatatkan dua kemenangan sahaja dari 11 perlawanan terakhir mereka dalam saingan Premier League musim ini.

Selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh mengagumkan pada musim lalu, the Peacock kini nampak terlalu sukar untuk bersaing dalam saingan Premier League.

Mereka pada ketika ini dilihat sedang bergelut dengan masalah prestasi dan sedang bertarung untuk keluar dari zon penyingkiran.

Mereka memulakan kempen saingan musim ini dengan sangat teruk selepas dibelasah 5-1 oleh Manchester United dan sejak itu anak-anak buah Marcelo Bielsa dilihat mempamerkan aksi pasang surut dalam persembahan mereka.

Leeds United juga sangat terganggu dengan masalah kecederaan pemain, dengan ramai dari pemain utama mereka yang terpaksa diketepikan atas alasan tersebut.

Patrick Bamford, Liam Cooper, dan Kalvin Phillips merupakan antara pemain yang terpaksa diketepikan untuk jangka masa panjang kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Diego LIorente, Pascal Struijk dan Rodrigo turut diketepikan dari beberapa aksi perlawanan Leeds United kerana masalah kecederaan kecil.

Pemain muda seperti Jamie Shackleton dan Charlie Cresswell turut sama diketepikan dari skuad utama kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Sementara Jack Harrison pula, beliau terpaksa diusung keluar dari padang ketika aksi bertemu Arsenal dan berkemungkinan akan turut masuk dalam senarai pemain yang akan berehat panjang.

Masalah kehilangan ramai pemain utama dan kekurangan pemain dari skuad depth menyebabkan Leeds semakin gerun untuk menghadapi jadual padat selepas ini.

Dari tiga perlawanan terakhir mereka, Leeds United telah beraksi bertemu Chelsea, Manchester City dan Arsenal.

Mereka selepas ini akan kembali bertemu Liverpool, sebelum berdepan dengan Aston Villa sebelum penghujung tahun 2021 ini.

Dengan pemain utama mereka masih tidak mampu diturunkan, Leeds United berdepan risiko besar untuk berada di zon penyingkiran pada penghujung Januari nanti.

Leave a Reply