Seluruh komuniti bola sepak di Malaysia sedang berada di dalam ‘mood’ yang sangat baik.
Apa tidaknya. Kejayaan skuad B-23 negara menumpaskan Arab Saudi 1-0 di perlawanan terakhir Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di China, bukan sekadar satu kejutan.
Lebih dari itu, kemenangan tersebut juga menjadi satu sejarah apabila skuad negara julung kalinya layak ke suku akhir selaku 8 pasukan terbaik Asia.
Jika kita mahu menyimpulkan bahawa masa depan bola sepak negara khususnya di pentas antarabangsa adalah cerah selepas ini, realitinya masih banyak perkara yang harus dilakukan.
Kesimpulan sedemikian hanyalah sekadar angan-angan dan mimpi di siang hari, jika tiada tindakan susulan atau pun jika kita berhenti bekerja untuk bakat-bakat muda yang dilihat sebagai tunjang bola sepak negara,
Semua pihak masih mempunyai peranan dan tugas berat untuk dilakukan, walaupun sinar itu seolah-olah mulai terbit di hujung terowong.
Untuk itu, mari kita melihat bagaimana Jerman mengembangkan bakat muda mereka, sehingga berjaya bergelar juara dunia di edisi Piala Dunia yang lalu.
Ada apa dengan Jerman?
Jerman adalah salah sebuah negara yang konsisten tampil di pusingan akhir kejohanan bola sepak utama dunia.
Namun sebelum ini prestasi mereka di kejohanan-kejohanan tersebut sering kali menampilkan kejayaan.
Selepas bergelar juara Euro 96 di England, Jerman disingkirkan di saingan peringkat kumpulan Euro 2000.
Walaupun muncul naib juara Piala Dunia 2002, dominasi Jerman sebagai kuasa bola sepak dunia mulai merudum apabila cabaran di Euro 2004 berakhir di peringkat kumpulan.
Kemuruduman prestasi di pentas antarabangsa membuatkan semua pihak di Jerman mendesak agar sesuatu yang drastik dilakukan.
Apa yang kita lihat pada bola sepak Jerman, terutama prestasi skuad kebangsaan mereka adalah hasil reformasi bertahun-tahun.
Antara perubahan yang dimaksudkan melibatkan institusi yang bertanggungjawab akan bola sepak di negara berkenaan, kaedah pengurusan bakat baharu.
Selain itu, Jerman turut giat memberi penekanan kepada aspek pembangunan taktikal bola sepak secara menyeluruh (DNA bola sepak) dan struktur keseluruhan liga kebangsaan, dikenali sebagai Bundesliga.
‘Wake up call’ untuk Jerman
Selepas penampilan di Euro 2000 yang memalukan, Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) mengusahakan beberapa siri perubahan untuk membina kembali bola sepak Jerman daripada asas.
Titik fokal perubahan yang dilakukan adalah berasaskan pembangunan bakat muda dari negara berkenaan.
Pada ketika itu, ‘skuad tua’ pasukan kebangsaan Jerman dianggap nazak, tanpa ada pemain muda yang berkaliber sebagai pengganti.
Ini menyebabkan DFB nekad untuk menghasilkan bakat tempatan mereka sendiri.
Jika pencarian bakat tempatan yang menjadi fokus, sudah tentu Bundesliga adalah arena terbaik untuk melakukannya. Ini adalah langkah yang logik.
Anda tidak akan memikirkan Serie A, La Liga atau EPL membantu DFB mencari bakat muda di Jerman.
Kerana itu penulis berpendapat adalah bukan satu masalah besar jika pemain muda tempatan dari Malaysia enggan berhijrah mencari pengalaman di persekitaran yang lebih kompetitif, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Pembinaan struktur untuk pencarian bakat
Apa yang DFB lakukan kepada Bundesliga untuk merealisasikan harapan itu?
Langkah pertama ialah menjadikan semua 36 kelab bola sepak profesional di Jerman untuk mengamalkan peraturan 50%+1.
Dengan kata lain, pemilikian kelab harus dimiliki 51% daripada ahli berdaftar warga tempatan.
Ini untuk memastikan pemilikan kelab di Bundesliga kekal milik warga Jerman, sekaligus mengasingkan kepentingan (keuntungan) pelabur asing dari liga mereka.
Hasilnya, bakat-bakat muda Jerman akan diberi keutamaan daripada bakat dari luar.
Pada 2003, Program Pembangunan Bola Sepak Jerman ditubuhkan untuk mengenalpasti bakat muda dari seluruh negara, dengan tujuan untuk memberi bakat-bakat ini pendedahan seawal usia yang mungkin.
Untuk itu, kesemua 36 kelab profesional di Jerman diwajibkan memiliki akademi seliaan mereka sendiri.
Program pembangunan bola sepak Jerman
121 pusat pencarian bakat juga dibina di bawah seliaan DFB untuk menjangkau bakat-bakat dari kawasan pedalaman dengan pemain di antara usia 10-17 tahun menjadi keutamaan.
Ini bermakna setiap kanak-kanak di Jerman berpeluang untuk mendapat pendidikan bola sepak secara profesional sebelum memilih bidang lain utuk diceburi sebagai karier.
Perubahan dan pelaburan oleh Jerman ini bukan sekadar berjaya menghasilkan ramai bakat baru.
Malah hari ini mereka boleh berbangga dengan pemain berkelas dunia seperti Thomas Müller, Mario Götze, Toni Kroos, Mesut Özil, dan lain-lain.
Usaha inovatif
Selepas Jurgen Klinsmann dilantik sebagai ketua jurulatih pada 2004, beliau memperkenalkan beberapa usaha yang disifatkan sebagai inovatif untuk membentuk skuad kebangsaan berwajah baru.
Sebelum ketibaan Klinsmann, Jerman dikenali sebagai sebuah pasukan yang dikenali sebagai sebuah pasukan yang statik, gemar bertahan, dan bersandarkan kekuatan fizikal pemain untuk berjaya.
Klinsmann dan Joachim Low sebagai pembantu (kini ketua jurulatih) pada masa itu memperkenalkan corak permainan menarik dan menyerang sebagai asas taktikal pasukan.
Fokus pengambilan pemain bagi membarisi skuad kebangsaan turut diubah dengan pembentukan kemahiran teknikal dan ketangkasan di dalam padang menjadi keutamaan.
Klinsmann turut membawa masuk seorang pakar konsultansi dari Amerika Syarikat khusus untuk menambah baik tahap kecergasan dan membentuk fizikal pemain untuk corak permainan yang beliau mahu tampilkan.
Perubahan sering mengundang kritikan. Apa yang diperkenalkan oleh Klinsmann yang kelihatan drastik dan mengundang cemuhan daripada media dan pengikut bola sepak di Jerman.
Namun hasil perubahan tersebut boleh dilihat melalui penampilan Jerman di Piala Dunia 2006, yang berjaya menduduki tempat ke-3, sekaligus membuatkan semua pihak sedar akan keperluan bola sepak berevolusi di negara berkenaan untuk kekal kompetitif di saingan antarabangsa.
Berani mencuba idea baru
Sebelum revolusi bola sepak Jerman berlaku, DFB telah merantau ke seluruh pelusuk dunia untuk mencari kaedah terbaik untuk memulihkan pencapaian mereka.
Kerana itu, mereka telah berjaya menemui kaedah atau modal pengurusan yang dianggap asing dan mengimplementasikannya di dalam blueprint pembangunan bola sepak mereka.
Seperti mana di dalam urusniaga perniagaan, bola sepak juga tidak jauh berbeza. Pertama, anda harus melihat apakah sasaran yang mahu dicapai.
Anda kemudiannya mempunyai pilihan untuk mengadaptasi kaedah yang diamalkan oleh model perniagaan orang lain, atau membina model perniagaan sendiri berdasarkan sasaran dan cabaran persekitaran.
Ia tidak semestinya mudah. Langkah tersebut tidak semestinya berjaya. Dapatkan input yang sesuai dari mereka yang melaksanakannya, agar pengubahsuaian yang wajar boleh dilakukan.
Mencuba sesuatu yang baru untuk mencari kejayaan adalah lebih baik daripada kekal dengan kaedah lama yang tidak pernah membuahkan hasil.
Mentaliti pasukan
Anda tidak semestinya memerlukan pemain bintang untuk memastikan kejayaan milik pasukan. Jerman tidak memiliki pemain sehebat Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo.
Sebaliknya, pasukan Jerman pada hari ini mempunyai deretan pemain berbakat yang mampu bermain bersama-sama sebagai asas kekuatan pasukan.
Hari ini pemain skuad kebangsaan Jerman boleh diibaratkan bintang.
Apa yang penulis ingin sampaikan ialah kejayaan sesebuah pasukan memerlukan usaha pemain secara kolektif, dan bukan berasaskan keupayaan seorang pemain semata-mata.
Jerman tidak membina pasukan berasaskan seorang pemain bintang. Sebaliknya, penekanan Klinsmann dan Low lebih kepada usaha secara berpasukan sebagai satu unit untuk memburu kejayaan.
Mari kita lihat Jerman di era Joachim Low. Low telah membawa Jerman setakuk lebih baik selepas era Klinsmann.
Di bawah kendalian Low, beliau membina Jerman yang melakukan serangan dan pertahanan sebagai sebuah unit.
Posisi pemain di atas padang ialah untuk memberikan sokongan kepada rakan sepasukan yang lain, dan setiap pemain sedar akan peranan masing-masing di atas padang.
Kesimpulannya, pemain Jerman menjadikan pasukan lebih penting daripada pencapaian individu. Mereka tidak bergantung kepada individu atau kelompok pemain tertentu untuk memburu kemenangan.
Selain daripada untuk mengatasi masalah pilihan pemain akibat kecederaan, Low menyukarkan lawan kerana perlu memberi fokus kepada semua 11 pemain di atas padang, dan bukan kepada individu tertentu.
Joachim Low dan bakat baru
Sepanjang 10 tahun sebagai ketua jurulatih Jerman, Low tidak pernah segan silu memperkenalkan pemain berpotensi ke skuad utama Jerman.
Penilaian Low terhadap pemain bukan kepada prestasi semasa semata-mata, tetapi penilaian berasaskan potensi dan impak jangka masa panjang yang pemain tersebut mampu lakukan.
Tidak semua eksperimen Low boleh dianggap berjaya. Namun kaedah terbaik untuk membina potensi pemain ialah dengan memberi mereka lebih peluang dan juga pendedahan.
Penjaring gol di perlawanan akhir Piala Dunia 2014 adalah contoh terbaik. Low mempertaruhkan Goetze yang berusia 22 tahun pada ketika itu, percaya bahawa kelincahan Goetze mampu memusnahkan Argentina.
Dengan mengetengahkan pemain muda seawal mungkin di peringkat tertinggi, Jerman mampu menjadikan pemain yang dianggap bakat baru pantas menjadi tunjang kekuatan pasukan.
Rumusan: Perkara positif dari Malaysia B-23
Daripada senarai 23 pemain ke China untuk kejohanan AFC B-23 di China, 8 pemain masih mempunyai peluang untuk beraksi di edisi seterusnya pada tahun 2020 jika berjaya melayakkan diri.
Ini adalah perkara yang positif jika pencapaian negara di pentas antarabangsa djadikan penilaian. Negara kita bukan asing dalam mengorak langkah pemain-pemain berbakat.
Sebelum ini kita pernah mempunyai pemain yang berkelana sejauh Portugal, Jerman dan juga Perancis. Namun sangat jelas kita tidak mempunyai hala tuju dalam kemenjadian bakat-bakat ini.
Usaha awal seperti mewajibkan persatuan bola sepak negeri memiliki akademi bola sepak masing-masing oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai salah satu syarat perolehan lesen, adalah langkah pertama.
Negara juga mempunyai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) untuk mendukung cita-cita melahirkan kelompok pemain berwibawa.
Tidak mudah untuk bermula. Tapi jika bukan sekarang, bila lagi. Jerman mungkin bukan kayu pengukur yang realistik bagi bola sepak kita.
Sekurang-kurangnya Jerman membuktikan pengurusan bakat muda yang sistematik, mampu mengangkat martabat bola sepak mereka.
Buat skuad negara yang sedang berjuang di China, teruskan melangkah maju ke hadapan. Kembalikan ngauman Harimau Malaya.