Peminat bola sepak dunia sedang bergembira dengan dua kejohanan bola sepak peringkat benua yang berlangsung serentak iaitu Piala Eropah di Perancis dan Copa America di Amerika Syarikat.
Bagi peminat bola sepak di Malaysia, kita perlu bersengkang mata sekiranya ingin menyaksikan kesemua perlawanan melibatkan kedua-dua kejohanan kerana perbezaan masa di kedua-dua buah negara dan Malaysia.
Pada sebelah malam dan awal pagi kita akan melayan perlawanan Piala Eropah, kemudian disambung pula dengan perlawanan Copa America pada sebelah paginya.
Namun begitu, Kejohanan Copa America sudah pun berlansung pada bulan Jun 2015 dengan Chile sebagai tuan rumah berjaya muncul juara menewaskan Argentina menerusi sepakan penalti.
Jadi mengapa kejohanan Copa America yg sepatutnya berlangsung 4 tahun sekali ini diadakan pada 2016 pula?
Ulangtahun ke-100
Edisi Copa America kali ini dikenali sebagai Copa America Centenario merupakan kejohanan Copa America ke-45 dan dianjurkan sebagai ulangtahun ke-100 kejohanan ini sejak kali pertama penganjuran pada 1916.
Kejohanan ini adalah kerjasama konfedarasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dan Konfedarasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah Dan Carribean (CONCACAF) dan pertama kali diadakan di luar Amerika Selatan.
Penyertaan Pasukan
Jika sebelum ini kejohanan ini hanya melibatkan 10 ahli gabungan CONMEBOL dan 2 pasukan jemputan dari ahli gabungan CONCACAF, kejohanan tahun ini menggabungkan 16 pasukan (10 CONMEBOL + 6 CONCACAF).
6 pasukan dari CONCACAF ditentukan seperti berikut:
[table]
Negara,Bagaimana mereka layak?
Amerika Syarikat,Tuan rumah dan layak secara automatik
Mexico,Layak secara automatik
Costa Rica,Juara 2014 Copa Centroamericana
Jamaica,Juara 2014 Caribbean Cup
Haiti,Pemenang play-off kelayakan Copa América Centenario
Panama,Pemenang play-off kelayakan Copa América Centenario
[/table]
Undian
Kedudukan balang ditentukan melalui ranking FIFA pada Disember 2015.
Tetapi balang 1 (pasukan pilihan) mendapat kritikan apabila diisi Brazil (ranking FIFA 6) dan Mexico (ranking FIFA 22) – selain Argentina (ranking FIFA 1) dan USA (hos).
Kritikan hadir kerana Balang 1 sepatutnya diisi Uruguay (ranking FIFA 11) sebagai Juara 15 kali Copa America, dan juga Chile (ranking FIFA 3) sebagai Juara Copa America 2015.
Soccer United Magazine melaporkan kemasukan Brazil dan Mexico sebagai pasukan pilihan kerana kedua-duanya dilabel sebagai ‘pasukan paling berjaya dalam masa 100 tahun dari konfederasi masing-masing terakhir di kejohanan antarabangsa’.
Sehingga artikel ini diterbitkan, kita sudah pun tahu nasib kedua-dua negara ini dalam kejohanan ini (Brazil tersingkir di peringkat kumpulan, Mexico dibelasah 0-7 oleh Chile ketika suku akhir).
Piala edisi khas
Kejohanan ulung ini menampilkan piala rekaan istimewa untuk pemenangnya.
Selain tidak dihiasi tapak yang menampilkan juara-juara terdahulu, piala edisi khas ini akan menampilkan ukiran kesemua 16 negara yang menyertai Copa America Centenario 2016 ini.
Ukiran peta Amerika Selatan dan Utara juga akan dapat dilihat pada piala ini. Selain itu, logo kedua-dua konfedarasi, tulisan 1916-2016, frasa ‘Uniting the Americans’ dan ‘La Copa del Siglo’ dapat dilihat pada piala ini.
Walaubagaimana pun, piala asal Copa America tetap akan diberikan kepada juara kejohanan kali ini.
Ini bermakna Juara Copa America Centenario akan menerima dua piala!
Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Kibal Rosali. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected].
Baca juga: Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Copa America 2015