Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Apa Dah Jadi Dengan Courtois?

Aksi berhadapan dengan Club Brugge dalam saingan UCL, membuatkan reputasi Courtois kini semakin calar.

Beliau dibolosi 2 gol pada separuh masa pertama. Kedua-dua gol terhasil dalam keadaan Denis yang hampir tersadung.

Sama ada Denis bernasib baik ataupun Courtois yang bernasib malang? Itu bukan persoalannya pada ketika ini. Peminat Real Madrid sudah muak dengan rekod bolos Courtois.

Sejak menyertai Real Madrid, Courtois sudah melepaskan bolos sebanyak 81 kali.

81 kali! Angka yang lebih tinggi daripada rekod Keylor Navas dalam masa 3 musim.

Dengan Courtois, Real Madrid hanya menang 1 piala iaitu Piala Dunia Kelab FIFA. Yang mereka dapat hasil daripada kejayaan UCL, bersama dengan penjaga gol, Keylor Navas.

Courtois dikeluarkan pada separuh masa kedua ketika berhadapan dengan pasukan bukan pilihan, Club Brugge.

Dalam bola sepak, apabila penjaga gol dikeluarkan, dalam kedaan mereka tidak cedera, ia memberikan isyarat yang buruk.

Areola dimasukkan pada separuh masa kedua. Penjaga gol simpanan itu terus melakukan aksi menyelamat penting dalam kedudukan 1 lawan 1.

Courtois ditandatangani dari Chelsea. Selepas Real Madrid gagal untuk mendapatkan De Gea untuk ke berapa kalinya.

Beliau hadir dengan reputasi yang sangat tinggi. Menjadi Penjaga Gol Terbaik Piala Dunia 2018 dan 1 Anugerah FIFA Best.

Oleh kerana beliau menikmati kejayaan berada di puncak dunia itu, perpindahan beliau ke Real Madrid dilakukan dengan cara se’diva’ yang mungkin oleh Courtois. Beliau meletakkan Chelsea sebagai tawanannya.

Beliau enggan pulang ke kem pra musim seperti yang sepatutnya. Sedangkan rakannya, Eden Hazard yang turut dikaitkan dengan Real Madrid, sangat profesional dan kembali ke Chelsea.

Courtois berada di Sepanyol dan seolah olah mahu memberikan isyarat bahawa beliau mahu memudahkan urusan perpindahannya. Chelsea mengeluarkan arahan agar beliau kembali untuk latihan pra musim.

Courtois mendesak Chelsea untuk menjualnya. Dan beliau ponteng ‘AWOL’ beberapa hari lagi di Chelsea ketika itu. Alasannya, beliau hanya mahu bermain untuk Real Madrid.

Courtois kemudian menjadikan keluarga sebagai alasan mahu ke sana. Tiada masalah untuk berpindah ke Sepanyol. Namun cara beliau meminta perpindahan itu membuatkan Chelsea panik dan terpaksa menebus klausa pelepasan Kepa Arrizabalaga sekitar £71 juta.

Mereka terpaksa menjual ‘pemain tak gembira’, Thibaut Courtois dengan nilai perpindahan £31 juta.

Courtois mendapat apa yang beliau inginkan dengan cara mogok, ugutan dan tidak profesional.

Selepas menyarung jersi Real Madrid, Courtois turut dikutuk oleh penyokong Atletico.

Sebelum ini Courtois pernah memperlekehkan Real Madrid ketika keraian piala bersama Atletico. Ia membuatkan beliau dijulang sebagai wira Atleti sebenar.

Tidak cukup dengan itu, hati penyokong Chelsea terus diselubungi amarah, beliau beberapa kali membuat kenyataan terbuka menyatakan Eden Hazard akan mengikut jejak langkah beliau ke Real Madrid.

Pada pra musim 2019/20, Real Madrid melepaskan penjaga gol legenda mereka, Keylor Navas ke PSG. Ini selepas Zidane mengumumkan Thibaut Courtois sebagai penjaga gol utama Real Madrid.

Ketika di Real Madrid, beliau gagal menepati harapan yang diletakkan ke atasnya. Minggu lalu, akhirnya beliau berjaya menamatkan badi tanpa ‘clean sheet’ selama 7 bulan.

Tetapi kembali dihantui dengan bolos 2 gol menentang Club Brugge.

Pada separuh masa kedua, Courtois dikeluarkan dan dingantikan dengan Areola. Menurut laporan Vicenzo Ciuero, Courtois dikeluarkan kerana tidak sihat dan terasa demam. Tidak pasti laporan itu benar.

Kerana biasanya pemain melalui saringan kesihatan dan kecergasan sebelum perlawanan. Mungkinkah ia hanya alasan untuk menjaga nama baik Courtois?

Persoalannya kini, adakah Courtois akan terus mendapat kepercayaan daripada Zinedine Zidane? Ataupun beliau akan kehilangan tempat kepada Areola dalam masa terdekat ini?