Pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger yang dikatakan turut berperanan dalam memujuk Timo Werner menyertai The Blues pada jendela perpindahan musim panas nanti mengakui beliau akan menghadapi masalah sekiranya penyerang tersebut tidak beraksi dengan baik.
Werner, 24 tahun, telah melengkapkan perpindahannya ke Chelsea pada 18 Jun lalu dengan yuran perpindahan bernilai £47.5 juta dan mengikat kontrak selama lima tahun bersama kelab tersebut.
Menurut laporan sebelum ini, Rudiger mengakui beliau seringkali berhubung dengan bekas rakan sepasukannya ketika di VFB Stuttgart bagi memujuk Werner untuk menyertai juara Liga Europa 2018/19 itu.
Sehubungan dengan itu, pertahanan berusia 27 tahun tersebut mahu Werner untuk membuktikan keupayaan hebat dimiliki beliau dalam usaha membantu Chelsea mengecapi kegemilangan.
”Chelsea telah meminta saya untuk membuat penilaian [tentang Timo Werner],” ujar Rudiger menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Saya telah lama mengenali Timo. Saya membuat saranan yang jelas untuk melakukan segalanya yang mungkin untuk memastikan Chelsea mendapatkannya.”
”Mulai musim hadapan, dia perlu untuk memberikan sumbangan baik buat pasukan, jika tidak, saya akan mendapat masalah daripada kelab selepas ini.”
Meskipun begitu, Rudiger jelas percaya dengan kemampuan Werner yang telah menjaringkan 26 gol dalam 33 penampilannya bersama RB Leipzig dalam saingan Bundesliga musim ini.
”Walaupun dia bukanlah penyerang klasik dalam kawasan penalti, dia mempunyai ketahanan tertentu yang cukup sesuai untuk menghadapi ‘kekuatan’ bola sepak Inggeris.”
”Serangan balas mungkin lebih sukar buatnya di Bayern Munich atau dengan kelab ternama Itali, di mana sentiasa berhadapan dengan lawan yang duduk sangat dalam [deep].”
”Walaupun di luar kumpulan kelab ternama, banyak pasukan yang mencuba untuk bermain bola sepak positif dan menyerang ketika berhadapan dengan kami.”
”Ia akan memberikan ruang yang diperlukannya dan mengharapkan agar dia dapat mengulangi apa yang dilakukannya ketika di Leipzig,” tambah Rudiger lagi.