Walaupun melakukan kesilapan berikutan hantaran kurang cermat Andreas Christensen menyebabkan Chelsea terlepas peluang untuk memperoleh kemenangan bertemu Barcelona, Antonio Conte tampil untuk mempertahankan tonggak pertahanannya itu.
Conte turut menyifatkan persembahan yang ditunjukkan pemain antarabangsa Denmark pada perlawanan pagi tadi adalah luar biasa dan beliau tidak kesal apabila memilih untuk menggandingkan Christensen bersama-sama Antonio Rudiger dan Cesar Azpilicueta di jenteran pertahanan.
”Ia adalah satu persembahan yang hebat dan luar biasa,” ujar Conte dalam sidang media selepas perlawanan.
”Dia (Andreas Christensen) baru berusia 21 tahun dan sangat hebat baginya mampu beraksi dengan kematangan yang dipamerkan. Dia merupakan salah seorang pemain terbaik. Dia beraksi dalam perlawanan yang besar dan saya amat gembira dengan prestasinya.”
Dalam pada itu, Antonio Conte turut memuji persembahan yang dipamerkan anak buahnya yang lain.
”Saya juga tidak akan melupakan tepisan hebat dari Thibaut (Courtois) menyelamatkan keadaan. Mereka (Barcelona) mempunyai satu peluang keemasan pada babak pertama yang dilakukan Paulinho dan (Luis) Suarez pada separuh masa kedua.”
”Saya rasa kami beraksi dengan baik dan saya pasti gembira kerana pemain saya menunjukkan usaha yang sangat hebat. Mereka mengikuti perancangan dan program yang kami telah sediakan.”
”Mereka menunjukkan yang mereka mampu untuk menjadi pasukan yang kuat.”
”Tetapi kami menunjukkan bahawa kami bersedia untuk bekerja dengan keras bersama-sama ketika bertahan. Pada masa yang sama apabila anda terus mempunyai perasaan yang betul dengan bola untuk mencipta peluang bagi menjaringkan gol, saya rasakan kami mampu untuk melakukan sesuatu yang luar biasa di Nou Camp.”
Pada perlawanan ini, Conte hanya membuat pertukaran pada minit ke-83 dan 84 dengan memasukkan penyerang, Alvaro Morata bagi menggantikan Pedro Rodriguez manakala Cesc Fabregas dikeluarkan untuk digantikan dengan Danny Drinkwater.
Secara kebetulan, dua pemain yang dikeluarkan oleh Antonio Conte itu adalah pemain yang pernah beraksi bersama Barcelona.