Pada awal bulan April lalu, Chelsea kelihatan sudah boleh melupakan saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan selepas kecundang di tangan Tottenham Hotspur 3-1 dan terikat 1-1 menentang West Ham United.
Tanpa diduga selepas itu, empat kemenangan berturut-turut berjaya dirakamkan anak buah Antonio Conte dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
Ia termasuk kemenangan bermakna setelah berjaya menundukkan Liverpool di Stamford Bridge awal pagi tadi untuk kembali membuka ruang dalam persaingan merebut slot ke saingan berprestij tersebut.
Ia dibantu dengan kekalahan mengejut Tottenham Hotspur 1-0 ketika bertemu West Bromwich Albion kelmarin di The Hawthorns.
Keadaan itu telah menghidupkan kembali persaingan merebut dua lagi slot ke saingan UCL di antara Tottenham, Liverpool dan Chelsea.
Bagi pengendali Chelsea, Antonio Conte, beliau gembira kerana Chelsea dapat kembali menyalakan api perjuangan buat pasukan.
”Sebulan yang lalu, ia adalah mustahil untuk membayangkan bahawa peluang kami untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah sudah sampai ke penghujungnya.”
”Sekarang kami masih mempunyai harapan,” ujar Conte memberitahu wartawan.
”Kami memperoleh tiga mata di setiap perlawanan (dalam empat aksi terakhir). Pesaing kami juga kehilangan mata tetapi masa depan kami tidak terletak di tangan kami.”
”Kami perlu mencuba untuk mendapatkan tiga mata untuk terus memberikan tekanan kepada pasukan di hadapan kami (Liverpool dan Tottenham Hotspur).”
”Kami mesti gembira dengan semangat juang dan keinginan serta kehendak kami adalah bagi menghidupkan peluang untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.”