Nampak gayanya, kisah yang berlaku antara Bastian Schweinsteiger dengan Jose Mourinho di Manchester United mempunyai versi yang lebih kurang sama di Itali.
Penyerang Sampdoria, Antonio Cassano telah diberitahu oleh pihak kelab bahawa masa depannya di kelab tersebut sudah pun berakhir.
Menghina presiden kelab
Karier Cassano di Sampdoria mula menemui titik noktah apabila beliau menghina presiden kelab iaitu Massimo Ferrero (gambar bawah) secara terbuka.
Semuanya bermula apabila Cassano berang tak selalu diturunkan dalam kesebelasan utama Sampdoria.
Penghinaan yang diberikan oleh Cassano terhadap Ferrero ternyata meletakkan dirinya dalam bahaya. Ini kerana presiden kelabnya membalas:
“Saya sayangkan Cassano tetapi masanya di Sampdoria sudah berakhir.”
“Saya nak beritahu kepadanya – jangan main-main dengan saya. Kalau dia nak selalu bermain, kenapa dia tak pergi ke kelab yang betul-betul mahukannya?”
Cassano telah pun memohon maaf secara terbuka dan menawarkan permohonan maaf secara bertulis. Malah beliau sanggup dikenakan hukuman denda oleh pihak kelab untuk kekal di Sampdoria.
Walaupun telah meminta maaf, Cassano tetap dihukum.
Menurut Cassano, beliau dihukum untuk tidak menyertai rakan sepasukan yang lain di bilik persalinan serta berlatih bersama-sama mereka.
Malah beliau juga diberitahu takkan bermain untuk Sampdoria sehingga kontraknya tamat.
Isteri Cassano mengeruhkan keadaan
Melihat suaminya dihukum, isteri Cassano, Carolina Marcialis tidak dapat menahan dirinya daripada mengeruhkan keadaan.
Carolina Marcialis memuat naik komennya di Twitter yang bertulis:
“Antonio tak kisah ‘diasingkan’ dari pemain lain dan makan gaji buta sampai kontraknya habis…”
https://t.co/Jr6LMJqO7q Antonio è contento di cambiarsi con i magazzinieri e lo farà tutto l'anno… 😏 #noproblem #nonmollaremai #amoremio💪🏼
— CarolinaMarcialis (@chriscarol99) August 22, 2016
Komen isteri Cassano ini nyata menaikkan lagi darah presiden Sampdoria.
“Kemudian dia beritahu dia diarahkan saya untuk menukar baju di bilik persalinan staf. Itu bohong namanya.”
Memberontak tak sudah
Ferrero ternyata kurang senang dengan sikap Cassano ketika berada di kelab – walaupun beliau sendiri yang membawa bekas penyerang Real Madrid itu ke kelab.
“Dia akan bising apabila tak dapat main, tapi bila main pun dia akan bising juga!”
Jurulatih Sampdoria, Marco Giampaolo (gambar bawah) juga sudah menyatakan dengan jelas bahawa Cassano bukan lagi berada dalam perancangannya.
Tidak kisah dipinggirkan
Namun, Cassano juga tidak mahu mengalah. Beliau tidak kisah dipinggirkan oleh skuad utama, asalkan tetap bersama dengan Sampdoria.
Alasannya cukup mudah – kerana beliau berada di kelab yang beliau cintai.
Ketika bercakap dengan Sky Italia, beliau mengatakan beliau menyerahkan masa depannya ditentukan oleh Ferrero.
“Saya sukakan Sampdoria dan peminatnya. Anda patut tanya Ferrero mengenai masa depan saya.”
Cassano juga menegaskan beliau tidak kisah dipinggirkan dari skuad utama.
“Saya masih mempunyai setahun dalam kontrak saya, dan saya sudah pun 5 tahun dipinggirkan dari skuad sepanjang karier saya.”
“Saya tidak kisah dipinggirkan dari skuad, malah ia lebih baik kerana saya berada di kelab yang saya suka.”
Cassano juga menyatakan beliau kini di ‘rumah’nya dan tidak mahu mengambil kisah mengenai masalah lain.
“Saya di ‘rumah’ saya sekarang, dan saya tak ada masalah disini.”
“Apa yang berlaku semua ini adalah masalah mereka (pengurusan Sampdoria). Saya tak akan tinggalkan kelab ini kerana saya sudah lakukan apa saja untuk kembali ke sini.”
Baca juga: Antonio Cassano: Kejatuhan Karier Adalah Kerana Saya Malas, Bukan Salah Jurulatih